Langkau ke kandungan utama
0

KKR dan MOSTI Jalin Kerjasama Bagi Memperkasa Program MyJalan

Kuala Lumpur, 29 Februari 2024 - Selari aspirasi Malaysia Madani yang memberi penekanan kepada transformasi digital, Kementerian Kerja Raya (KKR) akan menjalinkan kerjasama strategik bersama National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi memperluaskan adaptasi teknologi di dalam aspek penyenggaraan infrastruktur jalan dan sektor pembinaan.

Program Sandbox ini akan menjadi platform bagi mengintegrasikan teknologi, kajian pembinaan dan penyelenggaraan jalan agar dapat dilaksanakan secara inklusif di seluruh negara.

Program ini juga dapat memberi ruang dan peluang kepada pemain industri mengetengahkan inovasi dan teknologi mereka dalam ruang lingkup bidang kuasa KKR. Atas dasar itu, satu perjumpaan telah diadakan di antara YB Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi, pengurusan tertinggi KKR serta agensi, dan pengurusan tertinggi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan agensinya, Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI) di ibu pejabat KKR semalam.

Dalam pertemuan selama hampir satu jam itu, pasukan MOSTI telah membentangkan inisiatif Sandbox dan pencapaian program terdahulu yang telah memberi impak kepada ekonomi dan rakyat. Antara pencapaian yang diketengahkan termasuklah Sandbox Pembinaan bersama Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM) dan Kotak Pintar Lebuhraya Pintar bersama PLUS. Kedua-dua Sandbox ini berperanan sebagai pemangkin kepada penyelesaian masalah di lapangan bagi meningkatkan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

Selari aspirasi program MYJalan, KKR dan MOSTI juga telah berbincang peluang kerjasama bagi inisiatif Sandbox ini dalam mengetengahkan teknologi dan inovasi bagi menyelesaikan isu-isu penyenggaraan jalan raya termasuk dalam aspek pengawalseliaan.

YB Dato Sri Alexander berkata melalui program Sandbox, inovasi yang dihasilkan oleh KKR dan agensi di bawahnya juga dapat diketengahkan. “Melalui Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi Jabatan Kerja Raya

(CREaTE) dan CREAM, yang menerajui kajian dan inovasi sektor penyenggaraan infrastruktur dan pembinaan, pelbagai hasil inovatif telah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Produk-produk ini berpotensi untuk diketengahkan dan digunakan secara meluas oleh sektor-sektor yang terlibat,” katanya.

YB Dato Sri Alexander berkata, melalui kerjasama bersama MOSTI ini, KKR berhasrat untuk melaksanakan program Sandbox Infrastruktur Jalan Pintar yang akan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan jalan raya, termasuk perabot jalan.

“Ini termasuklah melihat kepada teknologi pembinaan jalan yang menggunakan bahan yang lebih berdaya tahan, tampalan jalan yang lebih berkualiti dan tahan lama, teknologi perabot jalan yang dapat meningkatkan tahap keselamatan pengguna jalan raya dan sebagainya. Ini sejajar dengan semangat Program MYJalan yang diketengahkan oleh KKR,” katanya.

Perbincangan ini turut dihadiri oleh Dato' Zahrul Hakim Abdullah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan) KKR, Dato' Sr Mohd Zaid Zakaria, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) MOSTI, Boniface Anak Edwin Manung Setiausaha Bahagian, Bahagian Pemindahan Teknolologi dan Pengkomersialan R&D (PTK) dan Mohd Safuan Mohd Zairi Ketua Pembangunan Ekosistem MRanti.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita