Langkau ke kandungan utama
0

Kempen Keselamatan Dan Ops Bersepadu Peringkat Kebangsaan Bersempena Perayaan Tahun Baru Cina Tahun 2023

DENGKIL, SELANGOR, 17 JANUARI 2023 - Pelancaran Ops Bersepadu dan Kempen Keselamatan Jalan Raya Kempen yang julung kali diadakan melalui kolaborasi strategik di antara Kementerian Kerja Raya dan Kementerian Pengangkutan Malaysia bertemakan ‘Pandu Cermat, Sampai Selamat’ telah diadakan di kawasan Rehat dan Rawat Dengkil arah utara Lebuhraya Utara-Selatan Lingkaran Tengah (Elite).

Kempen yang disempurnakan pelancarannya oleh  Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Menteri Pengangkutan Malaysia, YB Loke Siew Fook ini merupakan inisiatif berterusan pihak Kementerian dalam usaha ke arah mempertingkatkan keselamatan pengguna lebuh raya dan jalan raya ketika musim perayaan Tahun Baru Cina pada tahun ini.

Kementerian Kerja Raya amat prihatin akan isu keselamatan jalan raya dan menerusi Program Menaiktaraf Infrastruktur Keselamatan Jalan Raya akan merawat dan memperelok lokasi kerap berlaku kemalangan yang dikenali sebagai kawasan blackspots untuk mengurangkan kadar kemalangan yang disebabkan oleh faktor kejuruteraan jalan.

Bagi rekod, sebanyak 53 lokasi pembaikan blackspots yang telah dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2022 dengan kos berjumlah RM17.2 juta. Pembaikan yang dilaksanakan ini adalah bersifat penyelesaian kos rendah dan berimpak tinggi.  Pihak Kementerian juga telah mengenal pasti sebanyak 76 lokasi kerap berlaku kemalangan (blackspots) bagi tahun 2023.

Manakala bagi rekod pemasangan lampu jalan di kawasan berlaku kemalangan atau berisiko kemalangan akibat jalan gelap, sebanyak 40 lokasi telah dilaksanakan di jalan-jalan Persekutuan seluruh negara pada tahun 2022 dengan kos berjumlah RM4.7 juta. Program ini akan diteruskan pelaksanaannya pada tahun 2023 supaya aspek keselamatan jalan raya dapat dipertingkatkan.

Kementerian juga telah mewartakan pengurangan had laju sementara sebagai salah satu langkah keselamatan dan pemantauan yang diambil oleh pihak Kerajaan dalam meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang kerap kali berlaku di musim perayaan. Untuk itu, had laju di Jalan Persekutuan di seluruh negara akan dikurangkan 10 km/j menjadikan had laju Jalan Persekutuan daripada 90 km/j kepada 80 km/j berkuat kuasa mulai 18 hingga 27 Januari 2023.

Pada musim perayaan kali ini, pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia menjangkakan jumlah trafik sebanyak purata 3.8 juta hingga 4.5 juta kenderaan sehari di sepanjang cuti perayaan tahun ini. Justeru, KKR melalui LLM telah bersiap siaga mengkoordinasi beberapa program dan inisiatif sempena musim perayaan Tahun Baru Cina 2023 bagi memastikan kelancaran trafik dan keselamatan pengguna lebuhraya.

Tarikh Dan Waktu Acara