Langkau ke kandungan utama
0

Kejadian Tanah Mendap Di Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak Km66.1

Kuala Lumpur, 26 Julai 2023 – Menteri Kerja Raya (KKR), YB Dato Seri Alexander Nanta Linggi telah meninjau lokasi tanah mendap (sinkhole) berhampiran Plaza Tol Bentong di KM 66.1, Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak. Tinjauan turut disertai Ir. Sazali bin Harun, Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia dan YBhg. Dato’ Nik Fauzi bin Tan Sri Nik Hussein, Group Executive Chairman ANIH Berhad.

Menerusi tinjauan ini, Menteri Kerja Raya memaklumkan bahawa laluan dijangka dibuka kepada pengguna pada jam 11.00 malam, 26 Julai 2023 berdasarkan penilaian akhir jurutera Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan ANIH Berhad.

Kejadian yang berlaku pada 25 Julai 2023 sekitar jam 8.30 malam di KM 66.1 arah Barat dan Timur, di antara Persimpangan Bentong Barat ke Persimpangan Bentong Timur telah menyebabkan penutupan kedua – dua arah lebuhraya berkenaan. Namun, tiada kemalangan jiwa yang terlibat dengan kejadian ini.

Melalui laporan awalan pihak Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), tanah mendap (sinkhole) seluas 9.5 meter lebar x 10 meter panjang x 4.3 meter telah berlaku di atas permukaan terowong di laluan arah timur Lebuhraya Kuala Lumpur – Karak yang berada 13 meter di atas terowong tersebut akibat daripada runtuhan terowong 2 ECRL (Tunnel 2). Pasukan ECRL telah memaklumkan kepada pihak ANIH Berhad mengenai kejadian mendapan yang berlaku di KM66.1.

Bagi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna, pasukan teknikal ANIH Berhad LPT Ronda dengan kerjasama anggota polis ditempatkan di lokasi bagi membantu mengarahkan kenderaan untuk menggunakan lencongan laluan alternatif yang disediakan. Pengguna lebuhraya dinasihati untuk mematuhi papan arah serta arahan petugas di lokasi.

Pengguna lebuh raya juga disarankan untuk merujuk laman sosial rasmi KKR, LLM dan ANIH berhad di Twitter @moworksmy @LLMTrafik @LPTTrafik dan Facebook @Kementerian Kerja Raya Malaysia @Lembaga Lebuhraya Malaysia @Lebuhraya Pantai Timur untuk maklumat lebih lanjut, tepat dan terkini. Maklumat terkini juga boleh didapati dari Youtube @ANIH TV atau hubungi hotline LLM di 1800-88-7752 dan LPT - Line di 1-700- 818-700.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita