Langkau ke kandungan utama
0

Himpunan Malaysia Bersama Palestin Di Axiata Arena, Bukit Jalil

Kuala Lumpur, 24 Oktober 2023– Axiata Arena, Bukit Jalil telah menjadi saksi solidariti lebih 15,000 rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, agama dan bangsa menghadiri Himpunan Malaysia Bersama Palestin bagi menyampaikan mesej kepada dunia dan menunjukkan solidariti terhadap Palestin.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada program ini bagi menyatakan sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin dan menekan tindakan kejam Israel. Turut hadir sama barisan Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan, Jabatan Perdana Menteri serta Ketua-ketua Jabatan dan Agensi kerajaan yang lain. Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Datuk Seri Hj. Hasnol Zam Zam Bin Hj. Ahmad juga hadir sebagai tanda sokongan.

Solidariti ini merupakan terjemahan rasa dan keprihatinan seluruh rakyat Malaysia terhadap kesengsaraan dan penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin yang diserang tanpa belas dan perikemanusiaan oleh tentera zionis Israel.

Program telah dimulakan dengan solat Maghrib berjemaah dan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan di Palestin disusuli beberapa siri ucapan berkenaan sejarah dan perkembangan konflik yang melanda negara tersebut oleh pemimpin badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat.

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan kemuncak beliau di Himpunan Malaysia Bersama Palestin telah menegaskan bahawa Malaysia sentiasa menyokong dan memperjuangkan kebebasan rakyat Palestin dan menyeru agar seluruh rakyat Malaysia memperkuatkan perpaduan di negara ini dalam menangani krisis Palestin selain mempertahankan martabat dan kebebasan negara.

Kesemua yang hadir turut mengibarkan bendera Palestin, melaungkan takbir dan perkataan seperti "Hidup Palestin", "Bebas Palestin" pada himpunan yang bertujuan mempamerkan sokongan jitu rakyat Malaysia selain mendidik mengenai sejarah dan perkembangan konflik berkenaan.

Semoga penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin akan segera berakhir dan mendapat sokongan penuh dari seluruh negara di dunia. Usaha kerajaan Malaysia adalah untuk terus memberikan tekanan melalui saluran-saluran seperti Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan tekadkan pemahaman dalam kalangan rakyat dengan pendirian yang dilakukan oleh kerajaan tentang isu ini.

Tarikh Dan Waktu Acara