Langkau ke kandungan utama
1

Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 Sarawak

SARAWAK, 18 November 2017: Seramai 12 wartawan dan jurugambar diiktiraf dalam Anugerah Media Pembinaan CIDB 2017 (AMP 2017) yang dianjurkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof telah menyampaikan anugerah kepada pemenang sempena Malam Penghargaan Media KKR sebagai meraikan sumbangan wartawan disamping pengiktirafan terhadap karya kewartawanan pembinaan tempatan terbaik bagi Negeri Sarawak. Peranan media adalah sangat penting dalam memberi pemahaman kepada masyarakat terhadap agenda transformasi nasional di bawah Program Transformasi Industri Pembinaan 2016-2020 (CITP) yang merupakan sebahagian daripada Rancangan Malaysia Ke-11.

Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia berkata penganjuran AMP setiap tahun adalah sebagai platform untuk para media berkarya sekaligus membantu CIDB menghebahkan segala inisiatif dan pencapaian lebih-lebih lagi di saat CITP berada di titik tengah pelaksanaannya bagi menyediakan Malaysia ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020.

Pada malam AMP 2017, kategori Media Cetak, akhbar The Borneo Post mengungguli tempat pertama dimenangi oleh Rachel Lau Ker Qing dengan artikalnya yang bertajuk 'Roadblocks in adopting IBS in Sarawak' manakala Yvonne Tuah Merawin dengan artikalnya 'China construction firms: Friend or foe?' mendapat tempat ketiga.

Tempat kedua pula, dimenangi oleh akhbar Utusan Sarawak oleh Haini Darani yang bertajuk 'Memenuhi standad lestari dan berdaya tahan - komitmen padu Lebuhraya Borneo Utara Sdn. Bhd. Bagi kategori Media Elektronik & Online Broadcasting AMP 2017, stesen penyiaran TV3 Kuching mendahului RTM untuk tempat pertama menerusi liputan 'Pan Borneo Semantan'. RTM Kuching ditempat kedua bagi liputan 'Projek Pan Borneo Jajaran Telok Melano-Semantan' dan RTM Sibu menerima merit bagi liputan 'Jambatan Kanowit'.

Bagi kategori Anugerah Fotografi AMP 2017, jurugambar The Star, Zulazhar Sheblee dan BERNAMA, Muhamad Razali Nordin hanya layak menerima merit dengan masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 dan sijil penghargaan.

CIDB turut memberi penghargaan kepada mereka yang banyak membantu menghebahkan program CIDB menerusi Anugerah Khas Media Sosial CIDB 2017 yang diterima oleh Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah bin Haji Yusof menerusi akaun Twitternya @PetraJayaMP dan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Haji Abdul Rashid Shirlin menerusi akaun Twitternya @rosnah_ars. Penerima lain bagi anugerah khas ini ialah, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Kerja Raya, Misiah Taib; Ketua Komunikasi Korporat Kementerian Kerja Raya, Noreha Mohd. Ripin dan @MOWorks yang diuruskan oleh Seksyen Media Strategik KKR.

AMP dibahagikan kepada tiga kawasan liputan iaitu; Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Bagi setiap kawasan liputan, terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori Media Cetak (Berita & Rencana), Kategori Media Elektronik & Online Broadcasting (Berita & Rencana) dan Kategori Fotografi. AMP menawarkan hadiah wang tunai terkumpul berjumlah RM90,000 untuk semua kawasan liputan termasuk sijil penyertaan dan trofi.

Tarikh Dan Waktu Acara