Langkau ke kandungan utama
0

17 Wartawan Cemerlang Raih Anugerah Media Pembinaan 2023

Kuala Lumpur, 4 Disember 2023 – Telah berlangsung Majlis Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 (AMP 2023) di World Trade Centre, Kuala Lumpur. Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah meraikan kecemerlangan 17 wartawan dan jurugambar yang merupakan penganjuran kali pertama diadakan semenjak berakhirnya pandemik. Penyampaian anugerah ini telah disampaikan oleh Menteri Kerja Raya (KKR) YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Anugerah Media Pembinaan (AMP) tahun ini merupakan kali ke-enam dianjurkan oleh CIDB Malaysia bersama Kementerian Kerja Raya (KKR). Anugerah ini memberi penghargaan kepada media yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai inisiatif-inisiatif Kerajaan Malaysia dalam industri pembinaan.

Objektif AMP adalah menggalakkan kandungan kewartawanan dan media massa mengenai industri pembinaan. Ini termasuk kandungan yang mengupas isu semasa berkaitan industri pembinaan seperti keselamatan, kelestarian alam sekitar, penggunaan teknologi serta topik-topik lain yang berkaitan.

Harian Metro menerusi wartawannya Mohd Alhafiz bin Ithnin telah memenangi tempat pertama dalam kategori Media Cetak & Portal Berita, dengan penulisan bertajuk 'Mengurus Sisa Binaan, Denda RM10,000 Menanti, Terus Promosi Pembangunan Mampan Dalam Sektor Pembinaan'.

Tempat pertama dalam kategori Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian dimenangi oleh wartawan TV3, Irin Putri Azmi menerusi liputannya, 'Majalah 3 - Misi: Kembalikan Kuasa Kenyir'. Manakala, tempat pertama dalam kategori Fotografi dimenangi oleh Abdul Razak bin Abdul Latif, jurufoto The Vibes, dengan gambarnya yang bertajuk 'Labour shortage, weaker ringgit still plaguing construction industri'.

Buat pertama kalinya Anugerah Infografik diperkenalkan dalam AMP. Tempat pertama bagi kategori ini adalah Mohd Alhafiz bin Ithnin dan Mohd Fahmy bin Mohd Hashim dari Harian Metro dengan tajuk "Pemuliharaan Stadium Merdeka". Buat pertama kalinya juga AMP tahun ini memberikan hadiah saguhati kepada semua kategori anugerah kecuali bagi Anugerah Media Penyiaran Televisyen & Video Dalam Talian, pemenang membawa balik wang saguhati bernilai RM1,000 berserta sijil. Kesemua pemenang masing-masing membawa pulang wang tunai berserta sijil dan trofi.

KKR ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah dan syabas kepada pemenang-pemenang. Semoga penghargaan ini dapat menaikkan semangat rakan-rakan media dalam menyediakan kandungan-kandungan yang komprehensif dan bermanfaat kepada seluruh rakyat Malaysia.

Tarikh Dan Waktu Acara