Langkau ke kandungan utama
0

142 Pelatih Dirai Di Majlis Graduasi ABM Dan CIDB Tech Wilayah Timur

KUALA BERANG, TERENGGANU, 14 FEBRUARI 2023 – Seramai 142 pelatih termasuk 17 pelatih cemerlang diraikan ketika Majlis Graduasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) dan CIDB Technologies Sdn Bhd (CIDB Tech) Wilayah Timur 2023 di Dewan Besar ABM Wilayah Timur, Kuala Berang, Terengganu.  Mereka adalah pelatih daripada 17 tred (kategori) dalam latihan kompetensi kemahiran pembinaan membabitkan kluster bidang bangunan, Industrial Building System (IBS), Operasi Kren, Mekanikal dan Elektrikal, Kimpalan dan Blasting & Painting.

Bersempena Majlis Graduasi ini, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Dato' Sri Abdul Rahman Haji Mohamad telah merasmikan dan menyampaikan Anugerah Pelatih Cemerlang, Sijil Penghargaan dan Anugerah Ikon TVET Pembinaan.  Turut hadir pada majlis graduasi ini ialah Ketua Setiausaha KKR, YBhg. Dato’ Wira Wan Ahmad Uzir bin Hj. Wan Sulaiman dan Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, YBhg. Datuk Ir. Ahmad 'Asri Abdul Hamid.

Dalam majlis itu, seorang alumni ABM Wilayah Timur iaitu Hafizatul Najmi Pizat, 35 tahun telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Ikon TVET Pembinaan.  Beliau adalah bekas pelajar dalam bidang Pendawaian Elektrik (Wireman PW4) pada tahun 2008. Dengan berbekalkan sijil SKKP CIDB pada awal kerjayanya, kini beliau merupakan seorang usahawan muda yang mempunyai enam cabang perniagaan iaitu perniagaan seperti pendawaian elektrikal, peniagaan jual beli barangan elektrik, pembinaan rumah, pasaraya serbaneka, perhotelan dan perkhidmatan pelancongan.

Sementara itu, tujuh (7) rakan industri iaitu Petronas Chemical Group, Kolej Yayasan Pahang Advanced Skill, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Yayasan Pendidikan Maidam, Malaysia Rail Link (MRL), DNR Training Centre dan MKA Consult telah menerima sijil penghargaan atas jasa dan sumbangan mereka kerana telah menaja dan memberi peluang pekerjaan kepada pelatih-pelatih ABM dan CIDB Tech Wilayah Timur.

ABM dan CIDB Technologies adalah pusat penilaian dan latihan di bawah kendalian CIDB Malaysia yang memberi peluang kepada golongan belia dan personel binaan bagi mendalami kemahiran dalam industri binaan. Sehingga kini, ABM dan CIDB Technologies (Wilayah Timur, Utara, Tengah, Selatan, Sabah dan Sarawak) melahirkan 405,833 pekerja mahir binaan di seluruh negara membabitkan program belia dan personel binaan.  Kampus-kampus ABM dan CIDB Tech beroperasi di kawasan koridor ekonomi seluruh Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Kedah, Johor, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara