YBTM TURUN PADANG JKR JOHOR BAHRU
JOHOR BAHRU – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan, telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Johor Bahru bagi meninjau pengurusan organisasi serta status pelaksanaan projek-projek infrastruktur di bawah seliaan daerah tersebut.
Ketibaan beliau telah disambut oleh YM Ir. Raja Fairol Farouk bin Raja Abd. Assiss, Jurutera Daerah JKR Johor Bahru, bersama barisan kepimpinan jabatan. Dalam sesi lawatan tersebut, satu taklimat komprehensif mengenai struktur organisasi dan prestasi operasi JKR Daerah Johor Bahru telah dibentangkan oleh YM Ir. Raja Fairol Farouk.
Antara intipati taklimat tersebut merangkumi:
• Status semasa projek pembangunan dan penyenggaraan jalan persekutuan serta negeri.
• Cabaran operasi dalam memastikan kualiti infrastruktur di kawasan bandar raya Johor Bahru yang kian pesat.
• Inisiatif teknikal yang diguna pakai dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan JKR kepada rakyat.
Di akhir sesi lawatan, YB Datuk Seri Dr. Ahmad Maslan telah menyempurnakan satu sidang media bersama rakan pengamal media bagi mengulas lanjut mengenai perkembangan projek-projek berimpak tinggi di Johor serta komitmen kementerian dalam memperkasakan kemudahan awam yang selamat dan berkualiti.
Sebelum meninggalkan lokasi majlis, beliau turut meluangkan masa untuk menyantuni warga kerja JKR Daerah Johor Bahru. Sesi ramah mesra ini menjadi platform bagi beliau memberikan kata-kata semangat kepada kakitangan jabatan agar terus berbakti dengan penuh integriti dan profesionalisme demi kesejahteraan rakyat Malaysia, khususnya di daerah Johor Bahru.
- Log in to post comments