YB MENTERI KERJA RAYA TURUN PADANG KE PROJEK NAIK TARAF LORONG MOTOSIKAL LEBUHRAYA PERSEKUTUAN (FT002)
SHAH ALAM - Menteri Kerja Raya, Yang Berhormat Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah mengadakan Program Turun Padang ke Projek Naik Taraf Lorong Motosikal di Lebuhraya Persekutuan (FT002) bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia.
Melalui Rolling Plan 5, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RP5, RMK12), Kementerian Ekonomi telah meluluskan peruntukan sebanyak RM20 juta bagi pelaksanaan projek ini yang kini sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Negeri Selangor.
Projek naik taraf ini memberi fokus kepada penambahbaikan infrastruktur keselamatan bagi laluan motosikal di sepanjang Lebuhraya Persekutuan (FT002) dengan matlamat meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan penunggang motosikal, di samping mengurangkan risiko kemalangan serta memastikan aliran trafik yang lebih teratur dan selamat.
Pelaksanaan projek melibatkan jajaran sepanjang 48.0 kilometer dua hala yang merangkumi Daerah Klang sepanjang 7.0 kilometer iaitu dari Seksyen 10.4 hingga Seksyen 13.9, serta Daerah Petaling sepanjang 41.0 kilometer dari Seksyen 13.9 hingga Seksyen 34.4.
Antara skop utama projek ialah kerja-kerja membaik pulih permukaan jalan di lokasi terpilih, pembaikan kawasan terowong, menaik taraf sistem saliran dan membaik pulih longkang, penggantian penghadang jalan, kerja-kerja mencantas dan menebang pokok, pembaikan railing jambatan serta pemasangan papan tanda amaran dan destinasi baharu.
Selain itu, kemudahan tempat berteduh khas untuk penunggang motosikal turut dibina di lokasi yang bersesuaian bagi memberikan keselesaan kepada pengguna. Projek ini juga melibatkan pemasangan lampu jalan jenis Integrated Solar LED (ISLED) bagi meningkatkan tahap keselamatan, keselesaan dan pencahayaan kepada pengguna jalan raya khususnya pada waktu malam.
Kementerian Kerja Raya sentiasa komited dalam memastikan aspek keterhubungan, aksesibiliti dan mobiliti rakyat terus dipertingkat melalui penyediaan rangkaian jalan motosikal yang berkualiti, selamat dan selesa. Penekanan berterusan terhadap pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur jalan raya serta pelaksanaan projek berteraskan rakyat mencerminkan iltizam Kerajaan MADANI selaras dengan aspirasi Program MyJalan dan nilai teras Malaysia MADANI.
- Log in to post comments