Langkau ke kandungan utama
1

Tugu Peringatan dibina bagi menghargai pekerja Jalan Raya Timur-Barat (JRTB)

GERIK, 2 Julai 2015 - Bagi menghargai jasa dan pengorbanan Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dalam pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) (Grik, Perak – Jeli, Kelantan) ini satu Tugu Peringatan telah didirikan dan bakal menjadi monumen rujukan pelapis akan datang.

Tugu ini telah dibina pada tahun 1994 dan kini ia telah dinaiktaraf dengan infrastruktur yang lebih baik pada awal tahun 2015 dengan Kos RM 395,000.00.  Tugu ini dibina di tapak asal peristiwa serangan hendap oleh pihak komunis terhadap pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota Pegawai Keselamatan pada 23 Mei 1974.  Dalam tragedi tersebut, sebanyak 63 buah jentera JKR telah diletupkan.  Dalam satu lagi peristiwa serangan hendap pada 27 Ogos 1974, seramai 3 orang kakitangan JKR telah terkorban. 

Perasmian tugu ini telah disempurnakan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dalam satu majlis yang dihadiri oleh bekas kakitangan JKR dan waris yang pernah terlibat dalam pembinaan JRTB dan mereka telah menerima sumbangan daripada Menteri atas bakti yang mereka taburkan.

Pembinaan projek Jalan Raya Timur Barat (JRTB) ini telah dilaksana sepenuhnya oleh Kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terdiri dari semua lapisan jawatan. Ia merupakan satu pendedahan secara ‘hands on’ terhadap kaedah kerja yang sebenar walaupun ia berisiko tinggi keatas keselamatan mereka.

Panjang Jalan Raya Timur Barat (JRTB) adalah 123 kilometer dan telah dibina dengan kos sebanyak RM205 juta.  Ia merupakan salah satu laluan utama yang menghubungkan kawasan Barat dengan kawasan Timur Semenanjung Malaysia (Negeri Perak dan Kelantan).  Pembinaanya bermula dari tahun 1967 sehingalah dibuka kepada umum pada 1 Julai 1982.  Salah satu skop yang terlibat ialah pembinaan jambatan merentasi Tasik Banding yang menggunakan teknologi yang terkini pada ketika itu.

Tarikh Dan Waktu Acara