TINJAUAN KERJA YB MENTERI KERJA RAYA PROJEK REDLINE DARI MIRI KE SIBU | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

TINJAUAN KERJA YB MENTERI KERJA RAYA PROJEK REDLINE DARI MIRI KE SIBU

SIBU – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, hari ini meninjau Projek Redline dari Miri hingga ke Sibu dan seterusnya memberi sidang media di hentian terakhir di Durin-Salim, Sibu, Inisiatif strategik Kerajaan Persekutuan ini adalah bagi menaik taraf jajaran jalan persekutuan empat lorong dua hala di Sarawak agar memenuhi piawaian JKR R5 dan seterusnya diintegrasikan dengan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak.

Tinjauan kali ini memberi tumpuan kepada Seksyen Durin & Salim, yang meliputi laluan dari Persimpangan Julau ke Persimpangan Lapangan Terbang Sibu sepanjang 40.27 kilometer. Skop projek melibatkan kerja-kerja membaik pulih dan mengukuhkan turapan jalan, pembinaan serta pembaikan jambatan, pemasangan sistem perparitan, pertahanan cerun, serta menurap semula dan rawatan struktur Jambatan Durin bagi meningkatkan tahap keselamatan dan keselesaan pengguna jalan raya.

Peruntukan sebanyak RM231 juta telah diluluskan di bawah Belanjawan 2026 bagi kerja menaik taraf jajaran Durin–Salim, yang akan dilaksanakan secara berfasa selepas peruntukan disalurkan kepada Kementerian Kerja Raya.

Turut bersama dalam tinjauan ini ialah YBhg. Dato’ Seri Azman bin Ibrahim, Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya; YBhg. Dato’ Mohd Sakeri bin Abdul Kadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar & Pembangunan); YBrs. Ir. Wisil anak Lichok, Timbalan Pengarah (Infrastruktur) JKR Sarawak; serta pegawai kanan KKR, JKR dan agensi berkaitan.

KKR bersama JKR Sarawak kekal komited memperkukuh infrastruktur jalan raya negeri ini agar terus berkualiti, mampan, selamat dan lestari, sejajar dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk memastikan pembangunan infrastruktur dinikmati secara inklusif oleh seluruh rakyat Sarawak.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4