Langkau ke kandungan utama
1

Timbalan Menteri Melawat WCE Jajaran Hutan Melintang – Teluk Intan

YAB MB Perak Dan Timbalan Menteri Melawat WCE Jajaran Hutan Melintang – Teluk Intan

HUTAN MELINTANG, 21 FEBRUARI 2019 – Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat atau West Coast Expressway (WCE) E32, adalah sebuah projek penswastaan lebuhraya yang mendapat sokongan penuh pihak Kerajaan Malaysia. Satu lawatan kerja telah dihadiri YB Tuan Haji Mohd Anuar Bin Haji Mohd Tahir, Timbalan Menteri Kerja Raya dan YB Tuan Abdul Yunus Jamhari, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian Dan Perladangan yang mewakili Menteri Besar Perak di tapak pembinaan projek lebuhraya WCE, Plaza Tol Hutan Melintang, Seksyen 8, Perak Darul Ridzuan.

Lawatan ini bertujuan memperkenalkan Lebuhraya WCE kepada Kerajaan Negeri Perak dan juga agensi-agensi kerajaan lain selain bertujuan untuk berkongsi perkembangan/status terkini kemajuan projek. Jajaran Lebuhraya WCE di Negeri Perak mempunyai 4 Seksyen iaitu Seksyen 8 (Persimpangan Hutan Melintang ke Persimpangan Teluk Intan), Seksyen 9 (Persimpangan Kampung Lekir ke Persimpangan Changkat Cermin), Seksyen 10 (Persimpangan Changkat Cermin ke Persimpangan Beruas) dan Seksyen 11 (Persimpangan Beruas ke Persimpangan Taiping Selatan).

Tiga (3) seksyen bagi jajaran di Negeri Perak iaitu Seksyen 8, 9 dan 10 sedang diperingkat akhir penyiapan dan dijangkakan akan dibuka secara berperingkat bermula seawal Jun 2019 dan seksyen selainnya dibuka apabila disiapkan kelak. Projek ini dilaksanakan oleh West Coast Expressway Sdn. Bhd.

Jajaran Lebuhraya WCE merentasi dua (2) buah negeri iaitu Negeri Selangor dan Negeri Perak sejauh 233 kilometer (KM). Jajaran lebuhraya WCE di Negeri Selangor bermula dari Jalan Banting – KLIA (B18) sehingga Persimpangan Bertingkat Tanjong Karang sepanjang 93.8KM manakala di Negeri Perak bermula dari Jalan Persekutuan (FR5) di Hutan Melintang ke Plaza Tol Changkat Jering sepanjang 139.2KM. Lebuhraya WCE mempunyai 21 persimpangan bertingkat beserta 20 plaza tol. Lebuhraya WCE juga dihubungkan dengan lebuhraya yang sedia ada (seperti PLUS, SKVE, NKVE, NNKSB, LATAR, KESAS, dan lain-lain) demi memenuhi keperluan trafik di laluan-laluan utama.

Lebuhraya WCE akan berfungsi sebagai laluan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Selain daripada itu, lebuhraya WCE akan menjadi laluan pintasan kepada kawasan-kawasan utama di negeri Perak antaranya di Teluk Intan, Kampung Lekir, Sitiawan, Changkat Cermin, Beruas dan sebagainya.

Perlaksanaan pembinaan lebuhraya WCE berdasarkan implementasi Malaysian Green Highway Index (MyGHI) serta penggunaan teknologi binaan yang bermutu tinggi. Lebuhraya WCE juga akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti Kawasan Rehat & Rawat, medan selera, surau, tandas dan parkir yang luas serta kemudahan stesyen minyak bagi memenuhi keperluan pengguna lebuhraya. Selain itu, dari aspek keselamatan, lebuhraya WCE dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV), pasukan peronda lebuhraya yang beroperasi 24 jam dan lain-lain lagi. Ciri-ciri ini akan dapat memberikan jaminan keselamatan serta kualiti perjalanan yang selesa selain membantu memendekkan masa perjalanan.

Lebuhraya WCE bukan sahaja dibina untuk memudahkan aksesibiliti pengguna lebuhraya, malah lebuhraya WCE juga dijangka akan mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan disamping pemangkin pembangunan di kawasan pantai barat Negeri Selangor dan Negeri Perak.

Tarikh Dan Waktu Acara