TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI KOTA TINGGI, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

TIMBALAN MENTERI KERJA RAYA TINJAU PROJEK INFRASTRUKTUR DI KOTA TINGGI, PASTIKAN MANFAAT KEPADA RAKYAT TERUS DIPERKASA

KOTA TINGGI, JOHOR – YB Datuk Dr. Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya, telah mengadakan lawatan turun padang bersama pegawai Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Kota Tinggi bagi meninjau pelaksanaan projek pembangunan serta menilai tahap penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

Lawatan ini selaras dengan komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, jambatan, bangunan awam dan fasiliti pendidikan dilaksanakan secara berkesan demi kesejahteraan rakyat.

JKR Daerah Kota Tinggi memaklumkan bahawa skop penyelenggaraan melibatkan Jalan Persekutuan sepanjang 772.91 kilometer dan Jalan Negeri sepanjang 135.59 kilometer. Kerja-kerja tersebut merangkumi penyelenggaraan rutin dan berkala termasuk turapan dan bukan turapan, penyelenggaraan sistem saliran, pembetung serta cerun.

Sehingga April 2026, sebanyak RM42.863 juta telah diperuntukkan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan, meliputi pembaikan jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan perabot jalan dan papan tanda.

Dalam masa sama, tiga projek Jalan Persekutuan bernilai RM10 juta serta satu projek mitigasi banjir di bawah Kerajaan Negeri bernilai RM2.3 juta sedang giat dilaksanakan.

Sebanyak 10 projek bangunan Persekutuan dengan nilai keseluruhan RM85.7 juta dan satu projek Negeri bernilai RM2 juta turut dilaksanakan. Projek-projek ini melibatkan pembinaan pelbagai kemudahan termasuk mahkamah, klinik kesihatan, sekolah sukan, masjid, institut latihan kemahiran serta kuarters kediaman.

Selain itu, JKR turut merancang pelaksanaan projek baharu di kawasan Pengerang bagi menyokong pertumbuhan penduduk susulan pembangunan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC).

Bagi sektor pendidikan, sebanyak 24 projek tambahan blok sekolah dirancang sebagai perintis penempatan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu bermula 2027. Projek ini akan dilaksanakan menggunakan kaedah modular dan Industrialised Building System (IBS), dengan lapan projek diberi keutamaan mulai Mei, manakala selebihnya akan dilaksanakan secara berperingkat.

Dalam usaha meningkatkan kemudahan sedia ada, sebanyak RM8.6 juta turut diperuntukkan bagi tiga projek naik taraf dan penyelenggaraan bangunan melibatkan institut latihan, sekolah serta pejabat kerajaan.

KKR kekal komited untuk memastikan semua projek dilaksanakan mengikut jadual, mematuhi piawaian keselamatan dan kualiti yang ditetapkan, serta memberi impak langsung kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi setempat.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4