Langkau ke kandungan utama
1

Simposium Kontraktor dan Usahawan Bahan Binaan Bumiputera 2015

SHAH ALAM, 4 November 2015 - Sebagai agensi Kerajaan yang bertanggungjawab untuk memastikan keupayaan usahawan-usahawan binaan Bumiputera dipertingkatkan dari masa ke semasa, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan program Simposium Kontraktor dan Usahawan Bahan Binaan Bumiputera 2015.

Matlamat utama adalah untuk melahirkan kontraktor dan usahawan bahan binaan Bumiputera yang lebih berdaya saing hingga ke peringkat antarabangsa.  Ini selaras dengan Teras ke-4 Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (PEB) iaitu Memperhebatkan Keusahawanan dan Perniagaan Bumiputera dan perluasan jaringan perniagaan di antara penggiat Bumiputera dalam industri binaan. PEB adalah Agenda Nasional yang dilancarkan YAB Perdana Menteri Malaysia pada     14 September 2013.

Turut dilancarkan julung kalinya pada simposium ini adalah Pelancaran ‘Blue Pages’: Direktori Usahawan Bahan Binaan Bumiputera oleh YBhg. Tan Sri Ketua Setiausaha Negara serentak dengan majlis penutup simposium ini. ‘Blue Pages’ ini bertujuan untuk mempromosikan produk keluaran usahawan binaan Bumiputera dan bertindak sebagai pemangkin kepada usahawan Bumiputera untuk mengembangkan perniagaan di dalam industri binaan.

Blue Pages’ ini mengandungi maklumat 473 usahawan bahan binaan Bumiputera yang berdaftar dengan Kementerian Kerja Raya melalui BPKU. Antara maklumat yang dinyatakan di dalam ‘Blue Pages’ adalah seperti nama syarikat, alamat, nama Pengarah Urusan, alamat emel, nombor telefon dan senarai produk. ‘Blue Pages’ ini disasarkan kepada penggiat industri binaan seperti kontraktor, pemaju dan perunding, agensi Kerajaan, ‘Government Link Companies’ (GLC), Syarikat – syarikat Konsesi Lebuhraya dan Bangunan Persekutuan dan Badan – Badan Profesional Industri Binaan.

Terdahulu, bersempena dengan simposium ini, telah diadakan Malam Pengiktirafan Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (KBBT) pada 3 November 2015 yang diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada 22 orang kontraktor gred G7 Bumiputera berprestasi tinggi yang dipilih sebagai kontraktor yang berdaya saing dan berkemampuan untuk menjalankan sebarang projek kerajaan mahu pun swasta.

Simposium yang diadakan pada 3 dan 4 November 2015 dan bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) ini menyasarkan seramai 1,000 kontraktor Bumiputera (Gred G1 – G7) dan 50  usahawan bahan binaan Bumiputera dari seluruh negara.

Antara pengisian simposium ini adalah pembentangan-pembentangan kertas kerja oleh tokoh terkemuka antaranya YBhg. Dato’ Dr. Ismail Bin Alias, Mantan Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, YBhg. Dato’ Husni Bin Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), En. Zhariff Bin Zainul, Ketua Jabatan Perhubungan Hal Ehwal Bumiputera Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd dan Prof Dr. Rozainun Bin Hj.  Abd Aziz, Dekan Fakulti Perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Tarikh Dan Waktu Acara