Langkau ke kandungan utama
0

Projek Rintis Cat Jalan "Glow In The Dark" Di Persimpangan Jalan Sungai Lalang (B19) & Jalan Sungai Tekali (B16)

Hulu Langat, 15 November 2023 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi telah melakukan tinjauan kerja di lokasi Cat Jalan "Glow In The Dark" Di Persimpangan Jalan Sungai Lalang (B19) & Jalan Sungai Tekali (B16).

Turut hadir ke lokasi ialah Ybhg. Datuk Zahrul Hakim Bin Abdullah, Timbalan Ketua Setiausaha Sektor Dasar Dan Pembangunan KKR, Ybhg. Dato' Ir. Ahmad Redza Ghulam Rasool, Ketua Pengarah Kerja Raya Malaysia. Turut hadir ialah YB. Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat.

Projek rintis ini dilaksanakan sepanjang 245 meter dengan panjang cat jalan 490 meter. Ianya didapati sesuai untuk kawasan laluan gelap yang tiada lampu jalan dan salah satu alternatif melibatkan penggunaan 'road stud/mata kucing'.Projek rintis ini dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya Daerah Hulu Langat. Rekacipta ini diilhamkan bagi membantu pemanduan yang lebih selamat di jalan raya pada waktu malam.

Dengan mengekalkan ciri pemantulan cahaya kuning dengan penggunaan High Intensity Prismatic Sheet, kaedah pencahayaan ditambah baik dengan ciri phosporescence atau lebih dikenali sebagai teknologi “glow-in-the-dark” yang mengandungi elemen pigmen phosphors bagi mengeluarkan cahaya yang boleh dilihat selepas diberi tenaga.Sumber tenaga adalah sama ada dari cahaya matahari atau lampu kenderaan yang diserap, sebelum ianya bercahaya semula dan dapat dilihat pada waktu malam.

Pada tahun 2014, Netherland turut melaksanakan projek garisan jalan glow in the dark sebegini menerusi projek Smart Highway. Manakala tahun lalu, Australia mengambil langkah yang sama dengan melaksanakan projek jalan glow in the dark di Victoria. Dengan kos menelan belanja sebanyak RM12.5 juta, projek tersebut dianggap sebahagian daripada program keselamatan jalan raya oleh Regional Roads Victoria.

KKR ingin mengucapkan ribuan terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang berusaha dalam menjayakan sesi percubaan ini. Tekad utama KKR adalah penyediaan infra yang mampu memberi kemudahan kepada rakyat segenap Malaysia.

Tarikh Dan Waktu Acara