Langkau ke kandungan utama
1

Peserta Pertandingan Worldskills Asia (WSA) Abu Dhabi, 2018 Dirai Atas Kejayaan 3 Emas Dan 3 Perak

Peserta Pertandingan Worldskills Asia (WSA) Abu Dhabi, 2018 Dirai Atas Kejayaan 3 Emas Dan 3 Perak

SEPANG, 2 DISEMBER 2018 - Malaysia telah menyertai pertandingan kemahiran peringkat rantau Asia iaitu WorldSkills Asia (WSA) yang julung kali diadakan bermula 26 November 2018 sehingga 30 November 2018. Pertandingan WSA 2018 ini dianjurkan oleh Abu Dhabi Centre for Technical and Vocational Education and Training (ACTVET) dan telah diadakan di Abu Dhabi National Exhibition Centre (ADNEC).

Ketibaan kontinjen Malaysia seramai 42 orang dari Abu Dhabi yang disertai oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia bersama Kementerian Kerja Raya telah disambut oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Mohd Anuar Mohd Tahir. Sebanyak 17 bidang kemahiran telah dipertandingkan melibatkan penyertaan sebanyak 19 buah negara termasuk Malaysia.

Penyertaan negara melibatkan 12 orang peserta yang terdiri daripada 8 orang peserta rasmi dan 4 orang peserta tidak rasmi. Daripada 8 orang peserta rasmi negara, 6 orang telah berjaya meraih pingat iaitu 3 pingat emas dan 3 pingat perak. Peserta tidak rasmi merupakan peserta tambahan dari setiap negara dan seramai 5 orang telah dianugerahkan Medallion for Excellence.

Peserta yang memperolehi pingat emas ialah Haziq Fauzi Abdul Jalil (UniKL-MFI GIATMARA), bidang Refrigeration & Air Conditioning, Mohamad Amirol Amin Mohamad Zamri (Akademi Binaan Malaysia Wilayah Selatan) bidang Welding dan Mohamad Ridzuan Wahid (IKTBN Dusun Tua) Car Painting. Peserta yang memperolehi pingat perak pula ialah Hanafi Osman (GIATMARA Saratok) bidang Fashion Technology, Megat Muhammad Nurhan Munir (UniKL-MFI) bidang Mechanical Eng. Design CAD, Ahmad Naim Mohamad Rosli (Akademi Binaan Malaysia Wilayah Sarawak) Painting & Decorating.

Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa belia-belia mahir Malaysia mampu bersaing di peringkat antarabangsa khususnya di rantau Asia. Penyertaan negara ke WSA 2018 ini adalah sebagai latihan persediaan peserta untuk menyertai WorldSkills Competition (WSC) 2019 yang akan diadakan di Kazan, Russia. Selain daripada itu, penyertaan ke pertandingan WSA ini juga menjadi platform bagi pakar-pakar negara menjalin kerjasama di peringkat Asia.

Tarikh Dan Waktu Acara