Langkau ke kandungan utama
1

Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral Sebahagian Pembangunan Pantai Sentral Park

Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral Sebahagian Pembangunan Pantai Sentral Park

KUALA LUMPUR, 13 DISEMBER 2018 – Pembangunan perbandaran bersepadu Pantai Sentral Park di Pantai Dalam, mencapai satu lagi kejayaan dengan pembukaan Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral yang dibina dengan kos berjumlah RM98 juta, merangkumi kos operasi, penyelenggaraan, dan pengambilalihan tanah. Persimpangan bertingkat sepanjang 2.8 kilometer (km) ini telah siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 18 bulan dan berfungsi sebagai pintu keluar masuk tambahan yang menghubungkan Lebuhraya Baru Pantai (NPE) dengan perbandaran Pantai Sentral Park.

Persimpangan ini tidak hanya memberi kemudahan kepada Pantai Sentral Park, tetapi juga melengkapi rangkaian jalan setempat yang menghubungkan kawasan Bangsar South, Pantai Hill Park, Kerinchi dan Pantai Dalam. Pada masa yang sama, Persimpangan turut berfungsi sebagai laluan yang mampu menambah baik aliran trafik di Jalan Bukit Angkasa, Jalan Kerinchi, Jalan Pantai Murni dan Jalan Pantai Permai 1. Persimpangan dijangka dapat membantu mengurangkan masa perjalanan dari 50 minit kepada 30 minit pada waktu puncak.

Majlis pelancaran yang diadakan di Persimpangan Bertingkat Pantai Sentral ini dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Tuan Haji Mohd Anuar Mohd Tahir dengan disaksikan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), YBhg. Dato' Sr. Aziz bin Abdullah, pegawai-pegawai dari Kementerian Kerja Raya dan Lembaga Lebuhraya Malaysia bersama-sama wakil dari pemaju iaitu IJM Land, Amona Development, IJM Corporation Berhad dan NPE.

Tarikh Dan Waktu Acara