Langkau ke kandungan utama
1

Persidangan CIRAIC Ke-4 dan Pelancaran Garis Panduan Pembinaan di atas Tanah Gambut di Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 Oktober 2015 - CIDB Malaysia dan International Council for Research and Innovation in Building and Construction (CIB) dengan kerjasama Kementerian Kerja Raya Malaysia telah menganjurkan persidangan antarabangsa kali ke-4, Construction Industry Research Achievement International Conference (4th CIRAIC 2015).

4th CIRAIC 2015 merupakan persidangan yang dianjurkan setiap dua tahun sekali dan persidangan pada kali ini bertemakan ‘Global Sustainable Construction Beyond 2020’ yang memberi fokus kepada tajuk pembinaan hijau dan kelestarian, perumahan mampu milik, bahan binaan inovatif, Building Information Modeling (BIM) dan juga Mechanisation, Modernisation, Industrialisation (MMI). 

Melalui persidangan ini, teras strategi yang terkandung di dalam Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP 2016-2020) telah dibincangkan dengan penglibatan pakar antarabangsa menerusi usahasama penyelidikan Construction Research Institute of Malaysia (CREAM). 

Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof telah merasmikan persidangan ini.  Turut dilancarkan pada majlis sama ialah Garis Panduan Pembinaan di atas Tanah Gambut di Malaysia yang dihasilkan oleh CREAM/ CIDB.

Garis panduan ini dihasilkan melalui pembentukan Jawatankuasa Kerja Teknikal yang terdiri daripada pakar-pakar geoteknikal dan profesional tempatan. Ia bakal menjadi panduan terbaik dengan mengambil kira kos pembinaan yang efektif, kaedah rawatan yang optimum bagi tanah gambut.  Antara pihak yang bakal mendapat manfaat penghasilan garis panduan ini ialah kerajaan, jurutera perunding dan kontraktor bagi projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang sedang berjalan. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita