Langkau ke kandungan utama
1

Perasmian Persimpangan Bertingkat Seremban dan Kempen Keselamatan Sempena Aidilfitri 2015

SEREMBAN, 10 Julai 2015 – Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke bandar Seremban mempunyai satu lagi opsyen ke bandar tersebut melalui Persimpangan Bertingkat Bandar Ainsdale yang telah dirasmikan pembukaannya pada hari ini oleh  YB Dato’ Sri Haji Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia dan YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan.

 

Sebelum ini, pengguna Lebuhraya Utara-Selatan yang menuju ke bandar Seremban perlu menggunakan persimpangan Seremban yang sedia ada dan ini telah menyebabkan kesesakan yang kritikal di kawasan tersebut sehingga menjejaskan aliran trafik di laluan utama Lebuhraya Utara Selatan. Persimpangan bertingkat ini yang dilengkapi dengan sebuah plaza tol berkapasiti 12 lorong iaitu 7 lorong keluar dan 5 lorong masuk termasuk lorong elektronik turut mempunyai kemudahan surau dan tandas. Dalam majlis yang sama, YB Menteri Kerja Raya juga turut melancarkan Kempen Keselamatan Sempena Aidilfitri 2015. Beliau menyeru agar orang ramai berhati-hati ketika memandu pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri ini. Beliau menjangkakan akan berlaku peningkatan trafik yang agak ketara semasa musim cuti ini. Umpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan di mana kadar peningkatan trafik adalah dianggarkan sebanyak 30%. Oleh itu, beliau meminta agar pemandu kenderaan memberi fokus yang lebih semasa pemanduan serta bersabar dan berhemah.

YB Menteri Kerja Raya turut mengumumkan bahawa beliau telah mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di semua lebuh raya kecuali bagi kerja-kerja kritikal sahaja bermula dari 11 Julai 2015 sehingga 26 Julai 2015. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 4 hari iaitu pada 15 dan 16 Julai 2015, serta 24 dan 25 Julai 2015. YB Menteri Kerja Raya mengharapkan agar semua pemandu kenderaan mematuhi peraturan jalan raya yang sedia ada untuk memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya dan lebuh raya.

Tarikh Dan Waktu Acara