Langkau ke kandungan utama
1

Perasmian Jalan Sapulut-Kalabakan, Sabah

KALABAKAN, 8 Mei – Ketua Menteri Sabah, YAB Datuk Seri Musa Haji Aman telah merasmikan Jalan Sapulut-Kalabakan dengan disaksikan Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof hari ini.

Jalan ini merupakan jalan alternatif ke Kota Kinabalu tanpa melalui Sandakan dan Telupid dan ia melengkapkan jalan dari Tawau-Kalabakan-Sapulut-Nabawan-Keningau dan seterusnya Kota Kinabalu. Ini sekaligus akan dapat memendekkan tempoh perjalanan sebanyak 3 jam dari Tawau ke Kota Kinabalu.

Selain daripada itu, ia akan melengkapkan jajaran jalan Pan Borneo di Sabah walaupun jalan Sapulut-Kalabakan ini masih lagi berstatus Jalan Negeri dan akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk penyelenggaran jalan kelak.

Jalan Sapulut-Kalabakan ini pada asalnya merupakan jalan balak yang telah ditinggalkan oleh Syarikat Konsesi Pembalakan. Oleh yang demikian, pada tahun 2004, Kerajaan Negeri telah memohon untuk pembinaan projek ini dan UPE,JPM telah luluskan skop projek iaitu pembinaan jalan gravel sepanjang 145 km dengan kos projek sebanyak RM636 juta. Projek pembinaan jalan gravel ini bermula pada tahun 2004 dan siap sepenuhnya pada tahun 2008.

Selanjutnya, pada tahun 2011 UPE,JPM telah meluluskan Fasa 2 iaitu naiktaraf jalan dari gravel kepada jalan berturap sepanjang 145 km dengan kos sebanyak RM270 juta. Projek ini telah siap sepenuhnya pada Januari 2015.

Terdapat 5 projek besar yang sedang dalam pelaksanaan di Negeri Sabah dengan jumlah kos melebihi RM900 juta iaitu Projek Naiktaraf Jalan Donggongon – Papar Pakej 1 yang bernilai RM232 juta, Projek Naiktaraf Jalan Segama Fasa 1 berjumlah RM 108 juta, Projek Naiktaraf Jalan Tawau-Semporna berjumlah RM170 juta, Projek Naiktaraf Jalan Petagas-Lok Kawi Fasa 1A dan 1B sebanyak RM137 juta dan Projek Naiktaraf Persimpangan Bertingkat di Bandaraya Kota Kinabalu berjumlah RM261 juta. 

Selain itu, Kementerian juga sedang dalam perancangan untuk melaksanakan 2 lagi projek baru iaitu Projek Naiktaraf Jalan Donggongon –Papar Pakej 2&3 berjumlah RM380 juta dan Projek Naiktaraf Jalan Petagas – Lok Kawi Fasa 1 berjumlah RM32 juta yang dijangkakan bermula pada suku ke empat tahun 2015.

Kementerian juga sedang dalam pelaksanaan pembinaan 85 cerun di seluruh Negeri Sabah yang berjumlah RM421,251,696.80.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita