Langkau ke kandungan utama
0

Perancangan Jaringan Perhubungan Darat Sarawak digiatkan melalui Projek-Projek Infrastruktur di Miri

Miri, 5 Februari 2024 - Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi dan Ketua Setiausaha Kerja Raya, YBhg Datuk Seri Haji Hasnol Haji Zam Zam turun padang untuk melihat sendiri kemajuan pelaksanaan dan perancangan infrastruktur Jalan Persekutuan di Miri, Sarawak bagi memastikan jaringan perhubungan darat rakyat Sarawak, Miri khususnya sentiasa berada dalam keadaan yang selesa dan selamat.

Jumlah panjang jalan Persekutuan di Bahagian Miri yang disenggara oleh syarikat konsesi adalah sepanjang 85.76 km iaitu 44.03 km dikategorikan sebagai Jalan Protokol manakala 41.73 km adalah Jalan Primary. Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan anggaran peruntukan sebanyak RM 2.8 juta setahun bagi melaksanakan penyenggaraan rutin Jalan Persekutuan di Miri.

Pada tahun 2023, beberapa tindakan segera telah diambil oleh konsesi Jalan Persekutuan sebagai langkah penyelesaian jangka masa pendek menangani masalah jalan berlubang sepanjang Jalan Persekutuan di Miri dengan melaksanakan penampalan jalan (pothole patching) di bawah kerja-kerja Penyenggaraan Rutin. Kuantiti kerja tampalan potholes bagi tempoh Januari hingga Disember 2023 yang telah dilaksanakan adalah sebanyak 209 bilangan.

Bagi permukaan pavemen (turapan) jalan yang rosak akibat faktor pengusiaan (ageing) dan berada pada tahap kritikal, kerja-kerja penyenggaraan telah diluluskan di bawah program Penyenggaraan Berkala Pavemen dengan peruntukan penyenggaraan sebanyak RM 4.6 juta yang melibatkan 3 lokasi untuk dilaksanakan segera pada tahun 2024.

Selain itu juga, Kementerian telah meluluskan sejumlah RM 0.8 juta bagi pelaksanaan Penyenggaraan Berkala Bukan Pavemen yang melibatkan 4 lokasi dan sejumlah RM 0.3 juta bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan kecil Jambatan Sg Lutong.  Bagi mengatasi isu berbangkit berkaitan penyenggaraan Lampu Jalan dan Lampu Isyarat di Bahagian Miri, Kementerian ini telah meluluskan sejumlah RM0.5juta bagi pembayaran bil Lampu Jalan/Lampu Isyarat dan sejumlah RM 0.3 juta bagi penyenggaraan Lampu Isyarat.

Siri turun padang bermula dengan tinjauan lokasi cadangan Pakej Kuala Baram ke CIQ Sungai Tujoh, yang merupakan salah satu daripada tiga (3) pakej Projek Lebuhraya Trans Borneo (LTB). Projek LTB bertujuan untuk menambahbaik jaringan Jalan Persekutuan di antara sempadan Miri, Limbang dan Lawas ke Brunei Darussalam.

Seterusnya Menteri Kerja Raya meninjau prestasi kemajuan kerja pembinaan Pakej 11 - Sungai Tangap ke Jalan Pujut Link, Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak khususnya pembinaan viaduct di Seksyen Lambir. Bagi Pakej Kerja WP11, kemajuan kerja kini 97.45% siap dan secara keseluruhannya, Projek LPB Sarawak dari Telok Melano ke Miri dijadualkan akan siap pada April 2024.  Kerja-kerja melibatkan rekabentuk semula pembinaan viaduct pula telah bermula pada bulan November 2023 dengan jangkaan siap pada suku keempat 2025 namun tidak akan menjejaskan keselesaan pengguna jalan raya kerana masih boleh menggunakan jalan sedia ada. 

Lokasi penyenggaraan cerun juga turut ditinjau di Laluan1/79A Miri Airport Junction / Puchong Roundabout. Permohonan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan berjumlah RM 0.7 juta di lokasi ini telah diluluskan. 

Menyedari akan rungutan kesesakan trafik yang dialami pengguna jalan raya di bandar Miri, Menteri Kerja Raya turut meninjau lokasi projek Menaiktaraf Bulatan Pujut 3 (Bulatan GK) kepada Persimpangan Lampu Isyarat serta projek Menaiktaraf Jalan Bulatan Puchong - Sg. Lutong.

Oleh kerana pembangunan tanah yang rancak di sepanjang jajaran jalan dan kawasan sekitarnya, bulatan yang sedia ada sekarang tidak dapat menampung jumlah trafik yang meningkat dengan pantas kerana jalan ini berfungsi sebagai jalan arteri utama bagi penghuni dari Lutong, Tudan, Permyjaya, Senadin, Kuala Baram, Brunei, Limbang untuk menuju ke kawasan Bandar Miri.  Banci trafik bagi jalan tersebut yang dibuat pada 5 Januari 2022 merekodkan sebanyak 65,799 jumlah kenderaan melalui jalan tersebut dari 6 pagi sehingga 10 malam.

Oleh itu, cadangan projek ini adalah untuk menaiktaraf bulatan sedia ada kepada persimpangan lampu isyarat serta pelebaran jalan dari Bulatan Saberkas/Pujut ke Persimpangan Pujut 7 daripada laluan berkembar 4 Lorong kepada 6 Lorong sepanjang 3km.  Projek ini telah mendapat kelulusan Kerja Awalan dibawah peruntukan Rolling Plan Keempat (RP4) Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12).  Skop kerja yang diluluskan adalah Kerja Ukur Tanah dan Penyiasatan Tanah dengan kos anggaran RM 1.23 Juta.

Melalui kerja-kerja naiktaraf, projek baharu dan penyenggaraan jalan Persekutuan di Miri ini, ia membuktikan komitmen berterusan KKR dalam menyediakan fasiliti dan infrastruktur yang selamat dan selesa kepada rakyat.  Ia bakal mengurangkan masalah kesesakan di bandar Miri, mengurangkan masa perjalanan, menggalakkan aktiviti pelancongan di sekitar kawasan Bandar Miri serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.  Ini sejajar dengan semangat dan aspirasi Program MyJalan yang dilancarkan KKR untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mengatasi isu – isu berkaitan jalan raya terutamanya Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara