Langkau ke kandungan utama
0

Penyerahan Projek Naik Taraf Farmasi Steril Hospital Labuan Dan Penyerahan Pemilikan Aset Jalan Pesisir Pantai

Labuan, 22 Januari 2024 – Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Ahmad Maslan telah membuat sesi turun padang ke Wilayah Persekutuan Labuan hari ini bagi menyempurnakan Penyerahan Projek Menaik Taraf Ruang Sedia Ada kepada Farmasi Steril (Bilik Bersih) Hospital Labuan dari Jabatan Kerja Raya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia dan juga Penyerahan Pemilikan Aset Jalan Pesisir Pantai.

Tinjauan ini selaras dengan saranan YAB Dato' Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia sewaktu Majlis Ramah Mesra Program MADANI Rakyat Labuan Tahun 2024 pada 7 Disember 2023, yang menginginkan tinjauan ke WP Labuan dilaksanakan bagi membantu dan mencari penyelesaian kepada pelbagai isu dan masalah rakyat dari segi ekonomi di pulau bebas cukai ini.

Projek Menaik Taraf Ruang Sedia Ada kepada Farmasi Steril (Bilik Bersih) Hospital Labuan ini telah berjaya disiapkan empat (4) hari lebih awal dari tempoh yang ditetapkan tanpa sebarang lanjutan masa. Projek yang bermula pada 15 Disember 2021 telah berjaya siap sepenuhnya pada 13 Oktober 2023 dengan anggaran kos keseluruhan projek bernilai RM6.593 juta.

Dengan adanya ruang ini penjagaan farmaseutikal yang optimum dapat disediakan bagi memenuhi keperluan pesakit. Ruang ini memainkan peranan utama dalam aspek perolehan, penyimpanan dan pengedaran dadah dan bukan ubat (contohnya peralatan perubatan dan barangan yang boleh dibeli) di hospital ini.

Antara skop projek yang terlibat adalah kerja-kerja meroboh dan menanggal dinding dan peralatan utiliti sedia ada, kerja bangunan melibatkan pembinaan bilik bersih, bilik sokongan, bilik mekanikal, bilik penyimpanan, kerja mekanikal dan elekrik serta kerja luaran.

Penyerahan Pemilikan Aset Jalan Pesisir Pantai pula melibatkan penyerahan jalan raya sepanjang 4.8 km iaitu Jalan Persisir Pantai dari Membedai ke Tanjung Aru, WP Labuan dari Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) selaku Pemilik Aset dan Pemilik Projek kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) selaku Pengurus Aset.

Projek pembinaan jalan ini telah dilaksanakan secara reka dan bina bermula pada 19 November 2017 dan siap sepenuhnya pada 23 November 2021. Projek ini melibatkan skop kerja pembinaan jalan 2 lorong 2 hala sepanjang 4 km dan menaiktaraf jalan sedia ada sepanjang 1.1 km dengan piawaian jalan JKR R5. Selain itu ia turut melibatkan pembinaan 2 buah jambatan konkrit, 4 pembentungan, perabot jalan, pembinaan 5 buah persimpangan, ambil alih tanah dan pengalihan utiliti.

Kerja-kerja penyenggaraan selepas ini akan diuruskan oleh pihak konsesi yang telah dilantik oleh pihak Kementerian Kerja Raya dan diselia sepenuhnya oleh pihak JKR WP Labuan.

Membawa semangat dan aspirasi Kempen MyJalan, Kementerian Kerja Raya komited untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik dalam mengatasi isu-isu berkaitan penyenggaraan jalan raya terutamanya apabila melibatkan Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara