Langkau ke kandungan utama
1

Penyeragaman Satu Bahasa Ukuran dalam Pembinaan

KOTA KINABALU, 19 Disember -  Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) hari ini menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan empat agensi kejuruteraan awam dalam usaha untuk menerapkan penyeragaman pengukuran kerja-kerja sivil mengikut standard yang sama bagi mengurangkan kekeliruan dan meningkatkan professionalisma dalam berinteraksi mengenai kaedah pengukuran.

Standard pengukuran yang dikenali sebagai MYCESMM ini memainkan peranan dengan menyediakan bahasa ukuran dan garis panduan seragam bagi semua pihak dalam projek pembinaan. Dengan menggunakan standard ini, semua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam sekaligus menyelesaikan masalah komunikasi  yang sering berlaku dalam penyediaan harga tender.

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Sirlin menggesa kesemua penggiat industri, terutamanya perunding kejuruteraan dan juga juruukur bahan, menggunakan standard ukuran MyCESMM ini untuk penyediaan Bill of Quantities atau BQ di dalam projek-projek kerajaan, mahupun swasta di masa akan datang kerana ia juga mempunyai peranan strategik dalam menggalakan sistem perolehan yang adil dan efektif.

“Dengan adanya MYCESMM, setiap kontraktor yang memasuki tender projek akan mendapat maklumat yang sama dan pemahaman yang sama mengenai kerja-kerja yang perlu dilakukan kerana kesemua skop kerja diterangkan dengan jelas dan seragam,,” katanya.

Sejak tahun 2009 sehingga September 2013, sebanyak 8,492 projek kejuruteraan sivil telah dilaksanakan dengan jumlah nilai sebanyak RM 141 bilion untuk keseluruhan projek di dalam negara. Manakala bagi negeri Sabah sendiri, 1,164 projek kejuruteraan sivil telah dilaksanakan dengan jumlah nilai sebanyak RM 20 bilion.

CIDB pada hari ini menandatangai MOU dengan Jabatan Kerja Raya Sabah ( JKR Sabah), Jabatan Pengairan & Saliran (JPS Ibu Pejabat ), Association of Consulting Engineers Malaysia ( ACEM ) dan  Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB). Satu seminar mengenai MyCESMM turut diadakan selepas majlis MOU yang disampaikan oleh 5 penceramah daripada semenanjung yang diterbangkan khas untuk pembentangan kertas kerja MyCESMM.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita