Langkau ke kandungan utama
1

Penduduk Teruja Pembinaan Jajaran Telok Melano ke Sematan LPB Sarawak

SEMATAN, 15 September 2015 - Lebih 5000 penduduk sebelah barat Sarawak iaitu sekitar Lundu, Sematan dan Telok Melano yang hadir di Majlis Memulakan Kerja Pembinaan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) jajaran Sarawak, teruja kerana pembinaan Jajaran Telok Melano ke Sematan sepanjang 32.7 kilometer ini bakal memberi kesan positif kepada mereka.

Apabila siap kelak ia bakal memberi kesan langsung kepada penduduk Sarawak melalui peluang dalam sektor pembinaan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan bertindak sebagai pemangkin kepada pusat-pusat pertumbuhan baharu ekonomi serta akan menjadi jalan penghubung strategik serta memberi keselesaan perjalanan dan selamat kepada pengguna jalan raya di Sarawak.

Ia turut digambarkan sebagai lembaran baharu jalan penghubung yang efisien bagi rakyat Sarawak kerana pada masa ini, jalan perhubungan antara Telok Melano ke Sematan hanyalah melalui jalan laut dengan menaiki bot dengan jarak perjalanan hingga dua jam.

Pembinaan jajaran Telok Melano ke Sematan ini merupakan komponen kedua Lebuhraya Pan Borneo Sarawak selepas pembinaan jajaran simpang Nyabau ke Bakun sepanjang 43 kilometer yang dilancarkan Mac lalu. Pakej jajaran Telok Melano-Sematan ini melibatkan pembinaan jajaran baharu satu lorong dua hala (single carriageway) dengan kos RM700 juta dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember 2018. 

Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Najib Razak telah menyempurnakan majlis perasmian jajaran ini dan beliau diiringi Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof , Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta pegawai kanan kerjaan Persekutuan dan Negeri.

Lebuhraya Pan Borneo merupakan projek mega berskala besar dengan komitmen kewangan tinggi di pihak kerajaan, justeru kerajaan memutuskan supaya pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak dilaksanakan melalui kaedah ‘Project Delivery Partner’ (PDP) yang mana pembiayaan projek akan dibuat sepenuhnya oleh Kementerian Kewangan melalui Dana Infra.

Tarikh Dan Waktu Acara