Langkau ke kandungan utama
0

Pembukaan Seksyen 11, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Taiping Selatan - Beruas Akan Menambahkan Keselesaan Dan Penjimatan Kepada Pengguna Jalanraya

Perak, 11 Mac 2024 – Menteri Kerja Raya, YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini telah merasmikan pembukaan Seksyen 11, Persimpangan Bertingkat Taiping Selatan ke Persimpangan Beruas, Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE).

Turut bersama – sama hadir ialah YAB Dato’ Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak. Lebuhraya WCE merupakan lebuh raya antara bandar yang menghubungkan Changkat Jering di negeri Perak ke Banting negeri Selangor sepanjang 314.5kilometer (km) dengan melalui destinasi utama seperti Beruas, Sri Manjung, Sitiawan, Teluk Intan, Bagan Datuk, Hutan Melintang di negeri Perak dan Sabak Bernam, Tanjong Karang, Kuala Selangor, Klang, Shah Alam dan Banting di Selangor.

Lebuhraya WCE Seksyen 11 yang dibuka ini melibatkan jajaran sepanjang 35.5km yang menghubungkan pengguna secara terus dari lebuhraya PLUS di Changkat Jering ke Beruas, Perak. Seksyen ini dibuka secara rasmi kepada pengguna lebuh raya bermula dari jam 12.01 tengah malam pada 12 Mac 2024 (Selasa). Pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 11 ini dijangka dapat menjimatkan masa perjalanan dari Changkat Jering ke Beruas yang akan mengambil masa hanya 20 minit sahaja berbanding 55 minit sebelum ini melalui laluan sedia ada. Pengurangan masa perjalanan ini pastinya memberikan penjimatan kos bahan api bagi pengguna yang menuju ke selatan Perak sehingga ke Selangor dan juga merupakan alternatif kepada Lebuhraya Utara Selatan dan mengurangkan kesesakan terutama pada waktu puncak, musim perayaan dan cuti persekolahan.

Ia juga merupakan akses yang lebih mudah kepada pengguna untuk ke destinasi pelancongan menarik di sekitar negeri ini seperti Zoo Taiping, Taman Tasik Taiping, Hutan Paya Bakau Matang, Muzium Perak, Pantai Remis, Pulau Pangkor serta menjadi nilai tambah kepada kempen Tahun Melawat Perak 2024 dan Sambutan Ulang Tahun ke-150 bandar Taiping.

Disamping itu, Lebuhraya WCE ini turut memainkan peranan dalam memangkin penjanaan ekonomi masyarakat setempat persisiran pantai barat semenanjung yang terkenal dengan makanan laut dan penghasilan hasil laut.Ini sekaligus memberi impak sosio-ekonomi yang lebih besar kepada negeri Perak dan Negeri Selangor melalui sambungan akses sedia ada dari lebuhraya ke pelabuhan. Ia juga akan menjadi laluan pilihan utama kepada aktiviti ekonomi logistik yang berurusan secara langsung dengan pelabuhan-pelabuhan seperti Pelabuhan Lumut, Pelabuhan Teluk Intan dan Pelabuhan Klang.

Dengan pembukaan Lebuhraya WCE Seksyen 11 ini, ia akan memberikan alternatif yang lebih selesa kepada pengguna yang menuju ke utara dengan laluan yang lebih landai dan kurang berbukit. Jajaran ini juga menyediakan lebih kesalinghubungan antara rangkaian lebuh raya untuk kemudahan pengguna sebagai pelengkap keseluruhan jajaran WCE di negeri Perak dan pastinya akan memberi manfaat besar kepada pengguna terutamanya dalam penyuraian trafik, penjimatan masa, penjimatan kos perjalanan (bahan api) dan pemanduan yang selesa dan selamat.

Ini selaras dengan hasrat Program MYJalan KKR yang telah dilancarkan olehYAB Perdana Menteri pada 24 Ogos 2023 di Gerik, Perak yang ingin menyediakan infrastruktur yang selesa dan selamat dengan penglibatan dan tanggungjawab bersama oleh semua pihak sesuai dengan semangat JALAN KITA, KITALAH YANG JAGA.

Pengecualian tol diberikan kepada pengguna yang memasuki Lebuhraya WCE Seksyen 11 ini iaitu dari Plaza Tol Taiping Selatan, Plaza Tol Trong dan Plaza Tol Beruas (di kedua-dua arah) bermula 12 Mac 2024 sehingga 11 Mei 2024 selama dua (2) bulan mengambil kira perayaan Aidilfitri yang akan datang.

Tarikh Dan Waktu Acara