Langkau ke kandungan utama
1

Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak

TELOK MELANO, 26 JANUARI 2019 - Pembukaan Jajaran Telok Melano – Sematan, Lebuhraya Pan Borneo Sarawak sepanjang 33 kilometer ini oleh YB Menteri Kerja Raya dan YAB Ketua Menteri Sarawak membuktikan komitmen dan kerjasama erat Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sarawak dalam menambahbaik jaringan infrastruktur jalan raya di Sarawak.

Selaras dengan visi dan komitmen Allahyarham Tan Sri Pehin Sri Haji Adenan bin Satem, mantan Ketua Menteri Sarawak, pembukaan jajaran Telok Melano ke Sematan bakal menyaksikan potensi perkembangan ekonomi dan pembangunan yang lebih giat di perkampungan sekitar khususnya Kampung Telok Melano dan Kampung Telok Serabang yang berpotensi untuk dimajukan sebagai lokasi eko-pelancongan dengan lokasinya yang strategik, berdekatan dengan Tg. Datu National Park dan Samunsan Wildlife Sanctuary.

Pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar turut dititikberatkan dalam pembinaan jajaran ini. Pelbagai inisiatif telah diambil untuk mengurangkan impak pembinaan ke atas alam sekitar antaranya penggunaan kabel komunikasi dan elektrik bawah tanah, pembinaan struktur jambatan rentangan panjang sebagai laluan haiwan liar di Jambatan Samunsan serta mengubah rekabentuk jalan daripada dual carriageway kepada single carriageway untuk meminimumkan kawasan pembinaan dan mengelakkan pembinaan di kawasan berkepadatan tinggi pokok bakau.

Projek Lebuhraya Pan Borneo bagi jajaran Telok Melano – Sematan ini telah dimulakan pada 15 September 2015 dengan melibatkan kos anggaran sebanyak RM 580 juta dan telah siap sepenuhnya mengikut jadual pada 4 Januari 2019 yang lalu.

Tarikh Dan Waktu Acara