Langkau ke kandungan utama
1

Pembukaan Jajaran Projek Central Spine Road Seksyen 3G dan 3H

LIPIS, 13 Julai 2015 - Kerajaan telah bersetuju untuk membuka sebahagian lagi jajaran Projek Central Spine Road (CSR) dalam Pakej 3 yang telah siap kepada laluan awam iaitu Seksyen 3G dan Seksyen 3H dari Felda Chegar Perah 2 ke Kg. Kechur sepanjang 24.2km mulai 13 Julai 2015.

Sebelum ini, terdapat 2 seksyen dalam Pakej 3 iaitu Seksyen 3F1 dan Seksyen 3F2 sepanjang 13.2km yang melibatkan jajaran jalan dari Kg. Kubang Rusa ke Felda Chegar Perah 2 telah disiapkan dan dibuka kepada laluan awam masing-masing pada 10 Januari 2014 dan 5 Julai 2013. Pembukaan jajaran ini telah memberi kemudahan kepada pengguna jalan raya terutamanya daripada aspek penjimatan kos, masa dan tenaga.

Dengan penyiapan keempat-empat seksyen ini,  jarak perjalanan asal sepanjang 43.4km telah dipendekkan kepada 37.4km dan tempoh masa perjalanan dapat dikurangkan daripada 90 minit kepada 20 minit dan jalan ini telah dinaiktaraf kepada 4 lorong 2 hala.

Projek Membina dan Menaiktaraf Laluan Persekutuan dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang ini merupakan salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang telah diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).

Skop Projek adalah pembinaan jalan baru serta menaiktaraf jalan sedia ada kepada 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 390 kilometer. Pembinaan projek CSR dilaksanakan secara berfasa sejak dari tahun 2008 lagi. Projek ini telah dibahagikan kepada 6 pakej utama.

Di atas faktor keselamatan dan bagi mengatasi kesesakan lalu lintas di jalan sedia ada khususnya di jalan persekutuan FT8, Pakej 3: Gua Musang, Kelantan ke Kg. Relong, Pahang dan Pakej 5: Bentong Bypass telah diberi keutamaan bagi pembinaannya dalam RMKe-10. Manakala pembinaan untuk pakej-pakej lain, dijangka akan dilaksanakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11). 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita