Langkau ke kandungan utama
1

Pelancaran Kerja Undi Bagi Projek Penyenggaraan Jalan Persekutuan Di Negeri Sarawak

KUCHING, 21 Mac 2016: Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Kerja Raya (JKR Sarawak) telah mengadakan Majlis Pelancaran Kerja Undi bagi Projek Penyenggaraan Jalan Persekutuan hari ini. Majlis dirasmikan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya.

Tujuan utama kerja undi ini adalah bagi membuka peluang kepada kontraktor kecil untuk sama-sama terlibat dalam kerja penyenggaraan jalan Persekutuan. Kerja undi ini meliputi kerja berkala bukan pavemen seperti kerja membaiki penghadang jalan, pembaikan longkang, perabot jalan dan papan tanda jalan. Bagi mempercepatkan proses pemilihan kontraktor, Kementerian Kerja Raya memutuskan agar pengagihan kerja dibuat secara undi.

Pelaksanaan kerja undi ini adalah kali ke-6 diadakan serentak di seluruh Negara. Peringkat pertama kerja undi telah diadakan pada Julai 2012 di Alor Setar Kedah dengan kos keseluruhan adalah RM37.4 juta. Bagi peringkat ke-2 pula, ianya telah diadakan pada November 2012 di Ipoh Perak dengan kos keseluruhan berjumlah RM52 juta, peringkat ke-3 telah diadakan pada tahun 2013 di Kuantan Pahang dengan kos keseluruhan berjumlah RM18 juta, manakala peringkat ke-4 telah diadakan pada tahun 2014 di Johor Bahru, Johor dengan kos berjumlah 28 juta. Kali ke-5 pula telah diadakan pada tahun 2015 di Kuantan Pahang dengan kos RM28 juta.

Pada tahun ini, sebanyak RM40 juta diperuntukkan bagi penyenggaraan jalan Persekutuan seluruh negara. Sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi kerja undi di negeri Sarawak. Walaupun dalam keadaan peruntukan jalan Persekutuan yang agak terhad pada tahun ini, peruntukan bagi kerja undi penyenggaraan jalan Persekutuan masih diberi keutamaan oleh Kementerian Kerja Raya.

Ini membuktikan Kementerian Kerja Raya amat komited dalam membantu dan memperkasakan kontraktor kecil serta mengutamakan kerja-kerja pembaikan seperti yang boleh menyebabkan bahaya kepada pengguna jalanraya.

Bagi pelaksanaan kerja undi pada kali ini, Kementerian Kerja Raya masih mengambil pendekatan sejajar dengan tatacara perolehan semasa di mana kerja undi yang ditawarkan bernilai RM50 ribu dan ke bawah. Secara tidak langsung, lebih banyak kerja undi dapat ditawarkan dan lebih ramai kontraktor kecil yang akan mendapat peluang disamping mempercepatkan pemilihan konkraktor untuk melaksana kerja-kerja penyenggaraan Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara