PARLIMEN: KKR PERELOK INFRASTRUKTUR FT136 KULIM-BANDAR BAHARU BERASASKAN SENARAI KEUTAMAAN RP2 RMK13 | Kementerian Kerja Raya Langkau ke kandungan utama
0

PARLIMEN: KKR PERELOK INFRASTRUKTUR FT136 KULIM-BANDAR BAHARU BERASASKAN SENARAI KEUTAMAAN RP2 RMK13

KUALA LUMPUR – Kementerian Kerja Raya (KKR) mengambil maklum berkenaan cadangan pembinaan lorong memotong di Laluan Persekutuan FT136 (Jalan Kuala Ketil–Merbau Pulas–Lunas–Pekan Bandar Baharu) dari Serdang ke Kulim, Kedah.

Maklum balas tersebut disampaikan oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Seri Dr. Haji Ahmad bin Haji Maslan bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, YB Tuan Roslan bin Hashim di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Menerusi semakan KKR, data bancian lalu lintas tahun 2025 menunjukkan Level of Service (LOS) bagi laluan berkenaan berada pada tahap LOS A (Stesen Banci KR706), di mana kapasiti jalan sedia ada masih berupaya menampung aliran trafik semasa. KKR turut mengesahkan tiada permohonan khusus diterima daripada Kerajaan Negeri Kedah di bawah Rolling Plan 2 Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RP2 RMK13) bagi pembinaan lorong memotong di jajaran tersebut.

Walau bagaimanapun, berasaskan senarai keutamaan Kerajaan Negeri Kedah, KKR telah mengemukakan tiga (3) cadangan projek penambahbaikan Laluan FT136 bagi kelulusan Kementerian Ekonomi di bawah RP2 RMK13. Cadangan berkenaan merangkumi:

  1. Kerja awalan naik taraf Jalan Persekutuan FT136 (Seksyen 47.40–37.70 & Seksyen 53.50–64.50, Daerah Kulim) melibatkan reka bentuk dan pengambilan tanah;
  2. Penggantian Jambatan FT136/037/12 di Daerah Kulim; serta
  3. Penggantian pembetung sedia ada kepada Jambatan FT136/19/50.

Bagi cadangan lorong memotong, KKR menyarankan agar syor berkenaan dikemukakan melalui Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) atau JKR Negeri Kedah bagi dimasukkan ke dalam senarai keutamaan Rolling Plan seterusnya. KKR kekal komited memastikan setiap penambahbaikan infrastruktur dilaksanakan secara terancang berlandaskan keutamaan, aspek keselamatan, dan kelancaran trafik pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita
1
2
3
4