Langkau ke kandungan utama
1

Pembinaan Jambatan Bagan Datuk, Perak Darul Ridzuan

BAGAN DATUK, 28 Oktober 2017: Penduduk sekitar Daerah Bagan Datuk dan Daerah Perak Tengah seramai 70,300 orang bakal mendapat manfaat secara langsung apabila sebuah jambatan dibina bagi menghubungkan kedua-dua daerah tersebut merentasi Sungai Perak hasil peruntukan Kerajaan Pusat dibawah Rolling Plan 1 (RP 1), Rancangan Malaysia Ke-11 (RMKe-11). Majlis telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia YAB Dato' Sri Ahmad Zahid bin Hamidi. Bersama-sama hadir di tapak projek tersebut iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya YB Datuk Rosnah Binti Abdul Rashid Shirlin berserta Menteri Besar Perak Datuk Seri DiRaja Dr. Zambry Abdul Kadir.

Jambatan tersebut dibina dengan piawai R5 sepanjang 1.5 kilometer (km) dan kelebaran 14 meter dengan 2 lorong 2 hala. Turut terdapat dalam skop projek ini ialah jalan tuju ke jambatan dengan piawai R5 (2 lorong 2 hala) sepanjang 8.7 km, 3 jambatan baru di sepanjang jalan utama, sistem pembentungan dan saliran di sepanjang jalan utama. Selain itu, persimpangan lampu isyarat di laluan FT069 (Bagan Datuk) dan persimpangan di laluan FT005 (Kampung Sejagop) turut bakal dibina bagi melancarkan aliran trafik semasa. Skop kerja lain adalah penyediaan perabot jalan dan kerja-kerja elektrik, pengambilan balik tanah dan kerja-kerja pengalihan utiliti.

Projek bernilai RM446.9 juta ini dijangka siap pada Julai 2020 dan menjadi laluan alternatif yang menjimatkan masa perjalanan dan kos bahan api kenderaan yang berulang-alik daripada Bagan Datuk dan kampung-kampung di sekitarnya ke Kampung Sejagop, Daerah Perak Tengah dan Manjung. Perjimatan masa perjalanan adalah daripada 1 jam kepada 15 minit manakala perjimatan jarak perjalanan pula daripada 50km (melalui FT069 dan FT005) kepada 10.2km.

Pembinaan jambatan ini berpotensi menjadi pilihan utama pelbagai komposisi kenderaan yang dianggarkan sebanyak 7500 kenderaan sehari pada tahun 2020 menurut Penilaian Impak Trafik (TIA). Ini seterusnya memberikan impak seperti pemangkin pertumbuhan ekonomi kawasan setempat selain mengurangkan kos penyelenggaran, mengurangkan risiko kemalangan pada jalan sediada dan memberikan keselesaan kepada pengguna lalulintas.

Tarikh Dan Waktu Acara