Langkau ke kandungan utama
1

Menteri Kerja Raya Lancarkan “Build Brigade” - Program CSR CIDB dan Industri Pembinaan

KUALA LUMPUR, 25 November - Menteri Kerja Raya Datuk Haji Fadillah Yusof hari ini melancarkan “Build Brigade”, iaitu satu program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) anjuran Lembaga Pembangunan Industri pembinaan Malaysia (CIDB) dan para penggiat industri pembinaan.  Build Brigade ini ditubuhkan bertujuan mengumpulkan sumber yang ada di dalam industri untuk disalurkan kepada komuniti yang memerlukan, terutama yang hidup di kawasan-kawasan pendalaman negara.

Program Build Brigade pada tahun 2013 melibatkan empat projek membaik-pulih dan juga membina kemudahan seperti balairaya dan tabika.Ini termasuk pembinaan sebuah pusat komuniti untuk masyarakat Penan yang berharga RM250,000 di Long Keluan, Miri Sarawak, yang dijadual akan siap pada akhir Januari 2014.  Menteri Kerja Raya di dalam ucapan perasmiannya berkata, perkampungan Long Keluan di sambung ke Bandar terdekat, iaitu Miri hanya melalui jalan balak yang berdebu ketika cuaca panas dan licin ketika hujan dengan perjalanan mengambil masa kira-kira lima jam. Justeru amatlah jelas, usaha membawa masuk bahan-bahan binaan ke kawasan kampung itu sendiri sangatlah mencabar dan memakan belanja yang tinggi.

“Selain projek di Long Keluan,Build Brigade turut melaksanakan projek pembinaan pusat komunitidi Perkampungan Orang Asli Sungai Miak, Janda Baik, Pahang, dengan kos sebanyak RM160,000, yang dijangka siap pada akhir Februari 2014. Dua lagi projek yang turut dilaksanakan ialah membaik pulih pusat komuniti di Perkampungan Orang Asli Sungai Berua, Hulu Terengganu yang dijangka siap akhir bulan November ini, dan membaik pulih Tabika di Perkampungan Orang Asli Post Brooke, Gua Musang, Kelantan, yang dijangka siap akhir Disember tahun ini.Kedua-dua projek di Terengganu dan Kelantan ini masing-masing melibatkan kos RM100,000,” jelasnya.

Selain pelancaran Build Brigade, majlis tersebut juga diadakan bagi memberi penghargaan kepada para penggiat industri yang aktif dalam menggangotai pelbagai jawatankuasa yang ditubuhkan untuk meningkatkan program berkaitan dengan industri pembinaan. 

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita