Langkau ke kandungan utama
1

Memartabat Jalan Persekutuan melalui Program Ftroadpedia KKR

MANJUNG, PERAK 6 Ogos 2016 : YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya bersama-sama YAB Dato’ Seri DiRaja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Besar Perak hari ini melancarkan program Jelajah dan Karnival FTRoadpedia Kementerian Kerja Raya 2016 di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir, Manjung, Perak.

Program yang julung kali diadakan ini bertujuan untuk menyerlah dan menyebarluas peranan sedia ada Jalan Persekutuan sebagai jalan utama kepada semua pengguna jalan raya di negara ini selain mengurus persepsi rakyat dengan memberikan perspektif positif (refreshing outlook) terhadap Jalan Persekutuan sebagai jalan utama dan bukannya jalan alternatif sebagaimana persepsi masyarakat kini.

Pada hari ini penguna jalan raya terutamanya Gen X dan Y perlu diperjelaskan bahawa Jalan Persekutuan bukannya jalan alternatif sebagaimana persepsi yang bermain diminda mereka. Sejak terbinanya Lebuhraya pertama iaitu Lebuhraya Utara Selatan pada tahun 1982 (E1 dan E2) ia sedikit menenggelamkan fungsi utama yang pernah dimainkan oleh Jalan Persekutuan sejak dahulu lagi.

Pengisian utama program ini ialah Jelajah FTRoadpedia dan Karnival FTRoadPedia. Acara jelajah yang bermula dari Sekinchan, Selangor hingga ke Lekir, Manjung, Perak ini disertai YB Dato’ Sri Hj. Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya, Pengurusan Tertinggi Kementerian Kerja Raya, orang awam iaitu dikalangan Rakan KKR dan pihak media.

Acara ini bertujuan memberi peluang kepada peserta jelajah untuk melihat sendiri kualiti Jalan Persekutuan (FT 05) selain meninjau lokasi menarik yang terdapat di sepanjang jelajah termasuklah kawasan tarikan pelancong, lokasi makanan tempatan yang unik dan eksotik, penginapan, kawasan bersejarah dan rumah ibadat. Ini bertepatan dengan slogan program iaitu ‘Cipta Detik Indah Bersama’ dimana pengguna Jalan Persekutuan berpeluang untuk menjadikan perjalanan mereka sebagai satu memori manis dengan terdapatnya kemudahan berehat, beribadah dan berekreasi.

Selain itu juga Peserta konvoi Jelajah FTRoadpedia juga telah dibawa melawat dan diberikan taklimat mengenai kerja-kerja Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat: Kerja-Kerja Menaiktaraf Jalan Persekutuan FT 05 (Tanjung Karang-Hutan Melintang, Selangor) dan (Teluk Intan-Kg. Lekir, Perak) iaitu salah satu usaha Kerajaan dalam meningkatkan kualiti pemanduan pengguna Jalan Persekutuan.

Selain itu, acara penting lain program ini ialah Karnival FT RoadPedia di Dewan Komuniti Bestari, Batu 10, Lekir, Manjung yang bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Pelbagai program dan aktiviti menarik telah dianjurkan, antaranya Taklimat Jalan Persekutuan, Pertandingan Melukis, Kuiz, Pameran dan lain-lain yang berhubungkait dengan Jalan Persekutuan.

Tarikh Dan Waktu Acara