Langkau ke kandungan utama
1

Malam Pengiktirafan Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (KBBT) 2015

SHAH ALAM, 3 November 2015 - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Bahagian Pembangunan Kontraktor dan Usahawan (BPKU) dengan kerjasama Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah menganjurkan Malam Pengiktirafan Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (KBBT).

Majlis ini diadakan bagi memberikan pengiktirafan kepada 22 orang kontraktor gred G7 Bumiputera berprestasi tinggi yang dipilih sebagai kontraktor yang berdaya saing dan berkemampuan untuk menjalankan sebarang projek kerajaan mahu pun swasta.

Selain itu penganjuran majlis ini adalah bertujuan menyediakan pangkalan data senarai Kontraktor Bumiputera untuk rujukan,mengenalpasti kontraktor Bumiputera tulen yang kompeten dan berprestasi tinggi dari segi pengurusan, kewangan dan teknikal, meningkatkan bilangan kontraktor Bumiputera yang berdaya saing, berdaya maju dan berdaya tahan, meningkatkan ekuiti Bumiputera dalam sektor pembinaan dan mengurangkan bebanan kewangan Kerajaan akibat projek sakit/mansuh.

Kumpulan sasar untuk untuk pengiktirafan KBBT adalah kontraktor bumiputera gred G2 hingga G7, berdaftar dengan CIDB dan BPKU melebihi 5 tahun serta memperolehi score CIDB sekurang-kurangnya 3 bintang.

Penilaian dilakukan mengikut Negeri menggunakan Borang Penilaian KBBT.  Seterusnya proses inspektorat Pengurusan Projek dilakukan ke atas syarikat tercalon sebelum Pengesyoran dan Laporan dibawa ke Jawatankuasa Induk Kontraktor Bumiputera Berprestasi Tinggi (JKIKBBT) untuk penilaian akhir dan diangkat kepada Jawatankuasa Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera (JPEB) untuk penganugerahan KBBT.

Anugerah pada malam ini disampaikan oleh YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya. Majlis ini diadakan bersempena program Simposium Kontraktor dan Usahawan Bahan Binaan Bumiputera 2015.

Simposium yang diadakan pada 3 dan 4 November 2015 dan bertempat di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) ini menyasarkan seramai 1,000 kontraktor Bumiputera (Gred G1 – G7) dan 50  usahawan bahan binaan Bumiputera dari seluruh negara.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita