Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Taklimat JITU Kepada Pegawai Kanan KKR

KUALA LUMPUR, 25 Mac 2016 – Menyedari kepentingan untuk memantapkan integriti bagi penjawat awam, Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan taklimat Jawatankuasa Integriti dan Tadbir Urus (JITU) kepada pegawai Kanan Kementerian dan Agensi.

Pada majlis perkongsian ilmu tersebut, YBhg. Dato’ Sri Haji Mustafar bin Haji Ali, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah sudi meluangkan masa untuk menyampaikan taklimat berhubung usaha pemantapan keutuhan sistem pengurusan pentadbiran Kerajaan melalui JITU.

JITU ditubuhkan melalui Arahan YAB Perdana Menteri No. 1 Tahun 2009 bagi menggantikan Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) dan merupakan platform untuk mengendalikan isu-isu berkaitan integriti melalui sistem dan prosedur. Pelaksanaan JITU ini lebih fokus kepada kaedah pencegahan berbanding penguatkuasaan.

Terdahulu, Ketua Setiausahan Kementerian, Dato’Sri Zohari Haji Akob dalam perutusannya telah menyeru agar penjawat awam menjunjung dan menegakkan prinsip integriti serta akauntabiliti ke arah mencapai sistem penyampaian perkhidmatan awam yang lebih telus, cemerlang dan berdaya saing tinggi.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita