Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Perasmian Penyempurnaan Lampu Jalan Lebuhraya LEKAS

SEREMBAN, 1 Februari 2016 : Pengguna Lebuhraya LEKAS kini boleh menikmati perjalanan yang lebih selesa apabila keseluruhan jajaran lebuh raya sepanjang 44.3 kilometer (km) diterangi cahaya lampu bermula dari Kajang dan berakhir di Paroi. Ini kerana projek pemasangan lampu untuk baki 25 km telah berjaya disiapkan mengikut tempoh yang ditetapkan, iaitu pada 31 Disember 2015.

Majlis perasmian penyempurnaan lampu jalan ini telah dirasmikan bersama oleh YAB Dato' Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan, Menteri Besar Negeri Sembilan dan YB Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia dalam satu majlis ringkas di Plaza Tol Setul, Lebuhraya LEKAS malam tadi.

Projek pemasangan lampu jalan bernilai RM16 juta ini melibatkan 549 batang tiang lampu LED yang jimat tenaga dan mesra alam. Kos pemasangan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat konsesi Lebuhraya LEKAS. Syarikat konsesi IJM turut mengumumkan pemberian ‘ang pow’ berupa diskaun tol dan pemberian kad Touch ‘n Go’ di lebuh raya kendalian sempena perayaan Tahun Baru Cina 2016.

Dalam majlis yang sama, tetamu kehormat turut melancarkan kempen keselamatan sempena Tahun Baru Cina 2016. Dijangkakan akan berlaku peningkatan trafik semasa musim cuti ini, umpamanya di Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur 1 di mana kadar peningkatan trafik adalah dianggarkan sebanyak 30%.

Dalam ucapan YB Menteri Kerja Raya yang dibacakan Timbalan Menteri Kerja Raya, beliau turut mengumumkan arahan henti kerja (stop order work) di semua lebuh raya kecuali bagi kerja-kerja kritikal sahaja bermula dari 1 Februari 2016 sehingga 14 Februari 2016. Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan dikuatkuasakan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama empat (4) hari iaitu pada 6 Februari dan 7 Februari 2016 serta 13 Februari dan 14 Februari 2016.

Tarikh Dan Waktu Acara