Langkau ke kandungan utama
1

Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Samarahan, Sarawak

KUCHING, 6 Februari – Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Samarahan telah diadakan hari ini bakal memanfaatkan 240 ribu penduduk sekitar.  Teks ucapan perasmian Ketua Menteri Sarawak, Yang Amat Berhormat, Datuk Patinggi Tan Sri Haji Adenan Bin Haji Satem telah dibacakan oleh Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.

Pembinaan jambatan di hilir Batang Samarahan ini akan melengkapkan jajaran-jajaran jalan raya persisiran pantai yang berdekatan yang menghubungkan Kota Samarahan dan Asajaya. Ketika ini terdapat dua alternatif menghubungkan Kota Samarahan dengan Asajaya iaitu menggunakan pengangkutan feri di Kota Samarahan dan laluan darat melalui Jalan Meranek / Lansat yang menyeberangi hulu Batang Samarahan melalui jambatan di Kampung Melayu.

Jambatan ini direkabentuk mengikut piawai terkini British Standard, iaitu BS5400.  Jambatan sepanjang 774 meter ini, akan menyediakan laluan dua lorong dua hala, laluan pejalan kaki dan jalan tuju sepanjang 3kilometer yang menghubungkan jambatan ke jalan raya berdekatan. Lokasi Jambatan Batang Samarahan adalah di utara Kampung Tambey, sejajar dengan Lebuhraya Samarahan.

Projek ini dijangka siap pada 2018 dan setelah siap pembinaanya, ia akan memanfaatkan kira-kira 240,000 penduduk di Bahagian Samarahan dan memendekkan 30 minit masa perjalanan berbanding menaiki feri.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita