Langkau ke kandungan utama
1

Lorong motosikal Lebuhraya Persekutuan dinaik taraf

SHAH ALAM 29 Ogos 2016: Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof, hari ini ‘turun gelanggang’ membonceng sendiri kenderaan dua roda bagi menyelami masalah yang dihadapi pengguna lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan, yang dikatakan masih belum diatasi.

Fadillah berkata, berdasarkan tinjauan tersebut, beliau dapati masih terdapat ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan agar lorong motosikal itu lebih selesa dan selamat kepada pengguna.

Katanya, antara yang perlu diper­tingkatkan adalah laluan antara Kuala Lumpur-Petaling Jaya yang sempit di kedua-dua hala.

“Daripada pengamatan saya, laluan di situ dibina mengikut standard lama iaitu lebarnya 2.5 meter sedangkan sebanyak 5,000 buah motosikal dianggarkan melaluinya pada satu-satu masa.

“Kalau mahu dilebarkan sehingga tiga meter, keluasan tanah di situ tidak cukup, jus­teru, kita sedang buat kajian bagaimana mahu mengatasi­nya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan bermula dari Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Universiti di Petaling Jaya hingga Shah Alam dan kemudiannya berpatah balik.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya, Dato’ Sri Zohari Akob; Ketua Pengarah Kerja Raya (JKR), Datuk Dr. Roslan Md. Taha; Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ismail Md. Salleh dan Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Noorizah Abd. Hamid.

Tinjauan tersebut merupakan susulan daripada lawatan beliau ke laluan sama yang dibuatnya pada 2013.

Fadillah berkata, masalah utama lain yang perlu diberikan perhatian adalah banjir di beberapa lokasi di lebuh raya itu setiap kali berlaku hujan lebat, meskipun sudah diletakkan pam bagi mengepam air keluar.

Sehubungan itu, katanya, Kementerian Kerja Raya akan memohon peruntukan sebanyak RM11 juta bagi membina jejambat untuk kegunaan motosikal di kawasan-kawasan yang kerap banjir.

“Masalah lain seperti te­rowong gelap, pokok tidak diselenggara, semak samun, kurang papan tanda dan pagar reput akan diperbaiki secara berterusan selepas ini,” ujarnya. - Utusan

Tarikh Dan Waktu Acara