Langkau ke kandungan utama
1

Lawatan Kerja Tapak Cadangan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak

Lawatan Kerja Tapak Cadangan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak

SRI AMAN, SARAWAK, 24 NOVEMBER 2018 - Menteri Kerja Raya Malaysia, YB Tuan Baru Bian mengadakan lawatan kerja meninjau kemajuan kerja Projek Pembinaan Hospital Baru Sri Aman, Sarawak. Projek ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) sebagai usaha kerajaan untuk mempertingkatkan taraf kemudahan kesihatan untuk rakyat.

Pada masa ini pembinaan hospital kini adalah di fasa 2 iaitu masih di dalam peringkat pembinaan manakala fasa 1 iaitu kerja-kerja tanah telah pun siap pada 29 Ogos 2013. Luas keseluruhan tapak projek ini kira-kira 51 ekar dan projek pembangunan pada masa ini melibatkan 15 ekar.

Apabila siap kelak hospital ini bakal menempatkan kemudahan sebanyak 108 katil yang melibatkan beberapa kemudahan perubatan iaitu klinik pakar, unit pesakit luar, unit kecemasan, unit hemodialisis, unit rehabilitasi, unit patologi, unit sinaran, wad ibu bersalin, wad obstetrik, farmasi, rumah mayat, ICU dan RHU, unit jagaan harian, unit pembedahan, wad perubatan dan pediatrik.

Kontraktor yang terlibat dalam projek pembinaan Hospital ini adalah Faltech Engineering Sdn. Bhd. JV Welfield Services Sdn. Bhd. dengan kos kontrak sebanyak RM176 juta. Satu lanjutan masa sehingga 3 Ogos 2019 telah diluluskan mengikut syarat-syarat kontrak atas sebab teknikal di tapak projek. Kemajuan kerja terkini adalah 44 peratus berbanding 60 peratus yang dijadualkan iaitu lewat 14 peratus.

Diharapkan usaha kerajaan ini dapat memberi manfaat kepada peningkatan taraf kesihatan penduduk terutamanya penduduk di sekitar Sri Aman yang dianggarkan seramai 93,379 orang. Ini menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan masyarakat luar bandar juga menerima kemudahan kesihatan yang setaraf dengan masyarakat bandar.

Tarikh Dan Waktu Acara