Langkau ke kandungan utama
1

KKR diiktiraf 5 Bintang dalam penilaian SSR MAMPU tahun 2015

PUTRAJAYA, 4 April 2016 – Kementerian Kerja Raya (KKR) terus unggul apabila diiktiraf sebagai organisasi cemerlang dengan memperolehi 5 bintang dalam Penilaian Indeks SSR pada tahun 2015.  Agensi KKR iaitu Jabatan Kerja Raya (JKR) turut dianugerahkan pengiktirafan yang sama.

Penyampaian Sijil Pengiktirafan Indeks SSR Agensi Sektor Awam Tahun 2015/2016 kepada 42 agensi yang berjaya telah diadakan hari ini dan disampaikan oleh Tan Sri Dr. Ali bin Hamsa, Ketua Setiausaha Negara. KKR diwakili oleh Ketua Setiausahan Kementerian, Dato’Sri Zohari Haji Akob.

42 agensi tersebut terdiri daripada 15 Kementerian, 10 Agensi Pusat dan Jabatan Utama (di bawah Ketua Perkhidmatan), 8 Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, 6 Agensi Barisan Hadapan dan 3 Agensi KPI Strategik Tier 1.

Penilaian Indeks SSR tahun 2015 telah memperkenalkan dua komponen baharu iaitu Bidang Fokus Transformasi dan Bidang Fokus Inovasi sebagai tambahan kepada dua bidang fokus yang dinilai sebelum ini iaitu Bidang Fokus Pematuhan dan Kualiti.

Penilaian ini mengikut model baharu yang dibangunkan oleh pihak MAMPU dengan kerjasama rakan-rakan strategik seperti Jabatan Perkhidmatan Awam, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Audit Negara, Arkib Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Multimedia Development Corporation.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita