Langkau ke kandungan utama
1

Kerja Menaik Taraf Jalan dari Bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang: dari Padang Mengkuang ke Durian Guling Terengganu

KUALA TERENGGANU, 18 Januari 2016 - Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Terengganu terus berusaha menyediakan kemudahan infrastruktur terbaik kepada pengguna jalan raya di negeri ini dengan menaiktaraf Jalan dari Bulatan Sultan Mansur ke Kuala Berang, dari Padang Mengkuang ke Durian Guling, Terengganu. 

Justeru, Menteri Kerja Raya, YB Dato’ Sri Fadillah Yusof telah meninjau kemajuan kerja projek menaiktaraf yang dijadualkan siap pada Julai 2016 ini dan projek yang bernilai RM34 juta ini telah dimulakan pada 23 Julai 2014 yang lalu.

Projek ini merupakan projek pelengkap kepada jaringan jalan raya Persekutuan yang menghubungkan Jalan Jerangau – Jabor (FT014) dan Jalan Simpang Pulai (Perak) – Lojing (Kelantan) – Gua Musang – Kuala Berang (Terengganu).

Skop kerja bagi projek ini adalah kerja menaiktaraf jalan raya ini daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala mengikut piawaian standard JKR R5 sepanjang 3.8 kilometer bermula daripada Bulatan Sultan Mansur ke Bandar Kuala Berang, Terengganu.

Projek ini juga dilaksanakan untuk menampung keadaan lalulintas yang semakin meningkat setiap hari selain menyelesaikan masalah kesesakan yang disebabkan oleh keadaan ’bottle neck ’ memandangkan sebahagian besar daripada jajaran jalan ini telah pun dinaiktaraf kepada jalan empat lorong.

Dengan terdapatnya kemudahan ini maka pertumbuhan ekonomi akan lebih pesat lagi terutamanya dalam sektor pelancongan, perindustrian dan pertanian khususnya bagi Negeri Terengganu.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita