Langkau ke kandungan utama
1

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2019

Kempen Advokasi Keselamatan Lebuh Raya Sempena Perayaan Tahun Baru Cina 2019

GOMBAK, 29 JANUARI 2019 – Persatuan Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) dengan sokongan pihak Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menganjurkan Kempen Advokasi Keselamatan Lebuhraya menjelang perayaan Tahun Baru Cina 2019 di Plaza Tol Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak yang akan yang dilancarkan oleh Yang Berhormat Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Sempena pelancaran kempen advokasi ini, KKR dengan kerjasama LLM dan PSKLM turut akan melancarkan sebuah video pendek bertujuan untuk mendidik dan menyedarkan pengguna lebuh raya supaya sentiasa tertib dan sopan ketika menggunakan lebuh raya, khususnya pada musim perayaan.

Kempen ini merupakan siri kempen kesinambungan advokasi keselamatan lebuh raya terdahulu yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pengguna lebuh raya berhubung pentingnya mengamalkan etika pemanduan berhemah dan bertimbang rasa di lebuh raya. Disamping itu ianya sebahagian daripada usaha murni untuk mengurangkan kadar kemalangan yang meningkat saban tahun. Semasa musim perayaan Tahun Baru Cina ini dijangkakan pertambahan trafik harian adalah sebanyak 20 % – 30 % di Lebuhraya PLUS dan lebuh raya utama yang lain.

Larangan penggunaan kenderaan berat di jalan dan lebuh raya akan turut dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selama 5 hari, iaitu pada 2 hingga 4 Februari 2019. Inisiatif proaktif ini termasuklah langkah Kerajaan mengeluarkan arahan henti kerja (stop order work) di lebuh raya kecuali bagi kerja - kerja kritikal untuk tempoh 15 hari iaitu bermula dari 29 Januari hingga 12 Februari 2019.

LLM dan PDRM serta dengan kerjasama syarikat-syarikat konsesi lebuh raya seluruh negara telah bersedia untuk membantu pengguna dengan langkah-langkah proaktif dalam melancarkan aliran trafik dan memastikan keselamatan mereka sewaktu musim perayaan nanti. Antaranya dengan menempatkan anggota RELA di kawasan lalu lintas di plaza tol dan kawasan R&R untuk tujuan kawalan trafik, mengaktifkan laluan contra flow di beberapa lokasi lebuh raya yang telah dikenalpasti, menempatkan kren dan kembalik di lokasi-lokasi strategik bagi memindah kenderaan yang rosak atau kemalangan dan pelbagai lagi.

Syarikat-syarikat konsesi lebuh raya juga akan melaksanakan Program Corporate Social Responsibility (CSR) di lebuh raya masing-masing dengan pemberian diskaun sempena musim perayaan sebagai tanda penghargaan mereka kepada pengguna-pengguna lebuh raya dan mengurangkan beban perbelanjaan di musim perayaan ini.

Tarikh Dan Waktu Acara