Langkau ke kandungan utama
1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Pertama

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Pertama

KUALA LUMPUR, 14 FEBRUARI 2019 - Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Rombongan siri jelajah ini menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

Pada hari pertama jelajah, lokasi yang dilawati adalah Jambatan Sungai Yu atau Sungai Yu Eco Bridge yang terletak di Jalan Persekutuan FT08 yang merupakan sebahagian daripada Projek Central Spine Road (CSR). Jambatan Sungai Yu merupakan jambatan Eco-Viaduct hidupan liar terpanjang yang pernah dibina di Malaysia yang merupakan laluan khas yang dibina untuk laluan hidupan liar di antara Banjaran Titiwangsa dan Taman Negara.

Ia dibina bertujuan memastikan kriteria di dalam Central Forest Spine Master Plan dipatuhi, iaitu untuk menghubungkan 4 kawasan hutan utama di Semenanjung Malaysia dengan rangkaian koridor ekologi hijau sebagai kawasan perlindungan hidupan liar. Keseluruhan panjang jambatan ini adalah 1,302 meter melibatkan pembinaan 3 buah jambatan dengan kos bernilai RM61.54 juta dan dimulakan pada 18 Oktober 2010 dan siap pembinaan pada 17 April 2013.

Lokasi kedua yang dilawati adalah Jajaran Projek Central Spine Road (CSR) yang sedang dalam pembinaan iaitu Seksyen 3E1 dari Mentara ke Merapoh. Seksyen 3E1 telah dimulakan pada 19 September 2016 dan dijadualkan siap pada 15 September 2019 dengan kos pembinaan sebanyak RM101.5 juta.

Skop kerja utama bagi Pakej 3E1 adalah membina jalan baharu 4 lorong 2 hala mengikut piawaian JKR R5 sepanjang 5.8 kilometer (km), sebuah jambatan, satu persimpangan bertingkat di Mentara dan dua Vehicular Box Culvert (VBC).

Projek Central Spine Road dari Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai, Pahang sepanjang 351.25km telah pun dimulakan secara berperingkat dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMKe-9) dan pada masa ini, jajaran sepanjang 55.35km dari Merapoh ke Kampung Seberang Jelai, Pahang dan 5.78km dari Kampung Asap ke Kampung Sertik telah pun siap pembinaan. Pemilihan lokasi projek adalah berdasarkan aspek keselamatan dan kesesakan lalu lintas.

Projek Central Spine Road merupakan laluan alternatif Jalan Persekutuan FT08 sedia ada yang dapat memberikan keselesaan kepada pengguna, mengurangkan kesesakan lalu lintas terutamanya pada musim perayaan utama seterusnya menjimatkan masa perjalanan. Projek ini juga akan menjadi pemangkin kepada pembangunan infrastruktur dan ekonomi di sepanjang koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

Tarikh Dan Waktu Acara