Langkau ke kandungan utama
1

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Kedua

Jelajah FtRoadPedia Zon Timur 2.0 - Hari Kedua

KUALA LUMPUR, 15 FEBRUARI 2019 – Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 tahun 2019 berlangsung selama tiga hari bermula pada 14hb hingga 16hb Februari 2019. Pada hari kedua jelajah, delegasi telah melawat dua projek yang sedang dalam pembinaan dan satu projek yang telah siap di sekitar Kota Bharu, Kelantan. Projek pertama yang dilawati adalah Projek Membina Flyover dari arah Kota Bharu merentangi Bulatan Wakaf Bharu ke Pengkalan Kubor, Kelantan. Projek ini telah diluluskan pelaksanaannya dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11) 1st Rolling Plan (RP1) Tahun 2016.

Projek menaiktaraf jalanraya sedia ada bermula di KM4.5 dari jalan Kota Bharu ke Pengkalan Kubor FT134 iaitu 100 meter (m) dari Simpang Empat Pohon Tanjung dan berakhir di KM6.06 dengan panjang keseluruhan 1.56 kilometer (km). Projek ini telah dimulakan pada 19 Februari 2018 dan dijadualkan siap pada 18 Ogos 2021 dengan Kos Pembinaan sebanyak RM99,564,800.00.

Dengan siapnya projek ini, ianya akan menjadikan trafik lebih lancar dari arah Kota Bharu – Pengkalan Kubor dan sebaliknya, di samping menyediakan kemudahan jalan yang lebih selesa dan selamat serta pemangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih pesat kepada penduduk setempat dan kawasan sekitarnya.

Projek ini merupakan projek perintis yang menggunakan kaedah Building Information Modelling (BIM) yang berupaya membantu proses koordinasi di peringkat perancangan sehingga ke peringkat penyerahan yang menekankan kolaborasi di antara pihak yang terlibat seperti KKR, JKR, Kontraktor dan sub-kontraktor. Ia secara tidak langsung, dapat meminimumkan konflik kerja di tapak selain dapat mengurangkan kerja ulangan (reworks).

Projek kedua yang dilawati adalah Projek Mahkamah Kota Bharu, Kelantan (Reka dan Bina) yang dilaksanakan menggunakan kaedah IBS dan akan mempunyai 3 Mahkamah Tinggi, 5 Mahkamah Sesyen dan 5 Mahkamah Majistret. Pembangunan projek ini adalah untuk menggantikan bangunan Kompleks Mahkamah Kota Bharu sedia ada.

Objektif pembinaannya adalah untuk mewujudkan ruang kerja yang lebih kondusif sekaligus menyumbang kepada penawaran perkhidmatan yang efisen seterusnya bakal meningkatkan produktiviti bagi penyelesaian kes.

Kontraktor untuk projek ini adalah Cakna Enterprise Sdn Bhd, dengan Kos Kontrak sebanyak RM96,730,888.88. Ia dimulakan pada 2 Jun 2016 dan dijangka siap pada 1 April 2020 (46 Bulan Tempoh Pembinaan).

Kemajuan fizikal sehingga 27 Januari 2019, adalah sebanyak 90.04 peratus mendahului jadual iaitu 44 peratus. Ini menjadikan projek ini mendahului jadual sebanyak 537 hari atau 46.04 peratus. Kemajuan Kewangan juga mencatatkan pencapaian perbelanjaan sebanyak 87.90 peratus berbanding jadual 42.50 peratus.

Pasukan jelajah turut melalui salah satu projek infrastruktur berimpak tinggi yang sedang dilaksanakan di Negeri Kelantan iaitu Projek Lebuhraya Kota Bharu - Kuala Krai, Kelantan, Pakej 1B dari Pasir Hor ke Kadok. Pakej ini telah dimulakan pada 7 April 2014 dan telah berjaya disiapkan pada 21 Julai 2018 dengan kos pembinaan sebanyak RM217.5 juta.

Jalan Persekutuan FT08 sedia ada merupakan jalan utama dari Kota Bharu ke Kuala Krai, Kelantan dengan kepadatan trafik yang tinggi terutamanya pada waktu puncak dan musim perayaan utama. Sehubungan itu, projek ini merupakan laluan alternatif yang lebih selesa dan selamat bagi pengguna yang ingin menuju ke Kuala Krai apabila siap sepenuhnya kelak.

Siri Jelajah FTRoadPedia Zon Timur 2.0 menjelajah jalan persekutuan di tiga buah negeri Pantai Timur Semenanjung Malaysia iaitu Pahang, Kelantan dan Terengganu bermula dari Kompleks Kementerian Kerja Raya dengan jumlah jarak sepanjang 1100 kilometer.

Pasukan jelajah seramai seratus orang delegasi ini diketuai oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya dan disertai pengurusan tertinggi Kementerian, Rakan KKR dan pihak media. Matlamat dan objektif FTRoadPedia adalah memberi nafas baharu dan persektif positif jalan persekutuan selain menonjolkan jalan persekutuan sebagai jalan utama dan menikmati sosio budaya setempat bertemakan “Cipta Detik Indah Bersama”.

Tarikh Dan Waktu Acara