Langkau ke kandungan utama
1

Jambatan Batang Sadong Memudahkan Ribuan Penduduk Pesisir Pantai Sarawak

KOTA SAMARAHAN, SARAWAK, 16 OKTOBER 2016 : Pembinaan Jambatan Batang Sadong, Kampung Buloh, Samarahan, Sarawak adalah satu inisiatif kerajaan untuk memendekkan masa perjalanan dari daerah Asajaya / Sadong Jaya ke daerah Simunjan / Sebuyau. Jambatan ini juga adalah salah satu jambatan yang penting bagi melengkapkan jajaran jalan pesisir pantai di Negeri Sarawak.

Projek ini telah diluluskan lanjutan program walkabout YAB Perdana Menteri Malaysia di Negeri Sarawak pada tahun 2011. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM231 juta untuk projek ini dan telah mula pembinaan pada bulan Julai 2012 dan ianya akan dibuka kepada orang ramai pada hari yang bersejarah ini, 16 Oktober 2016.

Dengan siapnya jambatan ini, ia merupakan jambatan terpanjang di Negeri Sarawak dengan kepanjangan 1.48 kilometer. Lebar jambatan ini adalah 11.5 meter dan mempunyai 2 lorong 2 hala. Bagi memastikan keselamatan pengguna, Kementerian Kerja Raya bersama Jabatan Kerja Raya Sarawak telah menyempurnakan Road Safety Audit (RSA) untuk memastikan kesemua aspek daripada segi keselamatan telah disemak bagi memastikan keselamatan pengguna yang menggunakan jambatan ini.

Dengan siapnya jambatan ini, pengguna tidak perlu menggunakan perkhidmatan feri bagi pergerakan merentasi sungai ini. Disebabkan oleh lebar sungai ini dan trafik yang tinggi, masa menunggu boleh mengambil masa yang lama. Perkhidmatan feri ini juga dipengaruhi oleh keadaan cuaca; apabila arus sungai adalah laju, pergerakan merentasi sungai mempunyai risiko yang tinggi kepada pengguna.

Tarikh Dan Waktu Acara