Langkau ke kandungan utama
1

Hari Teknikal Dan Kejuruteraan Jkr Malaysia 2017 Mendekati Masyarakat Awam

KUALA LUMPUR, 22 OGOS 2017 - Jabatan Kerja Raya (JKR) buat julung kalinya pada tahun ini menganjurkan Hari Teknikal dan Kejuruteraan JKR Malaysia (HTK JKR) 2017 dalam usaha untuk menyebarluas peranan JKR sebagai agensi teknikal utama Kerajaan Malaysia. JKR telah lama memberi kepakaran dan perkhidmatannya kepada rakyat Malaysia sebagai pelaksana pembangunan infrastruktur dan prasarana utama negara, menguruskan aset serta penasihat teknikal kerajaan.

Objektif program ialah menjadikan HTK JKR platform kepada orang awam untuk mendapat informasi dan kesedaran tentang pentingnya pematuhan kepada aspek-aspek kejuruteraan dan teknikal dalam membangunkan negara yang maju lagi lestari demi masa depan kita semua. Pada kali ini program mensasarkan penyertaan masyarakat awam khususnya pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/S), pihak berkuasa tempatan dan agensi swasta. Selain itu, ia mendedahkan peranan JKR dalam membangun, mencorak dan menerapkan ciri-ciri `Best Engineering Practice’ ini ke dalam pelaksanaan pembangunan negara.

Melalui program seperti ini para peserta program akan mendapat pendedahan asas berkaitan kejuruteraan dan teknikal dari peringkat akar umbi. Sempena Hari Teknikal dan Kejuruteraan JKR Malaysia 2017, turut juga disampaikan Anugerah Tokoh JKR kepada Encik Omar bin Matek dan pengiktirafan kepada Pasukan Pemasangan Jambatan Panel Keluli Bermodular.

JKR amat berbangga dengan adanya anugerah ini sebagai penghargaan kepada jasa warga JKR dalam usaha memartabatkan nama jabatan malahan memberi impak besar kepada JKR khasnya dan negara amnya. Majlis perasmian program ini telah disempurnakan oleh YB Menteri Kerja Raya, Dato’ Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof di Dewan Tan Sri Mahfoz Khalid. Sebanyak 32 buah ruang pameran industri daripada pelbagai agensi telah menyertai pameran serta pameran jentera dari JKR dengan tujuan berkongsi pengetahuan berkaitan bidang teknikal dan industri kejuruteraan.

Tarikh Dan Waktu Acara