Langkau ke kandungan utama
1

Hari Kerjaya Dan Libat Urus KKR Dan Agensi Di Lawas, Sarawak

Hari Kerjaya Dan Libat Urus KKR Dan Agensi Di Lawas, Sarawak

LAWAS, 15 DISEMBER 2018 – Hari Kerjaya dan Sesi Libat Urus Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan tujuan melahirkan lebih ramai tenaga mahir industri binaan di kalangan belia negara selaras dengan usaha Kementerian sebagai peneraju pembangunan infrastruktur negara telah diadakan julung kalinya bertempat di Daerah Lawas dan telah dirasmikan oleh YB Tuan Baru Bian, Menteri Kerja Raya.

Program anjuran KKR ini, turut melibatkan penyertaan Agensi Kementerian antaranya Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Malaysia, Akademi Binaan Malaysia (ABM), selain penyertaan Jabatan Penerangan Sarawak serta lain-lain Agensi Kerajaan Negeri.

Hari Kerjaya dan Libat Urus ini merupakan titik permulaan untuk menyebarluaskan lagi peluang-peluang kemahiran yang ditawarkan oleh agensi di bawah Kementerian Kerja raya untuk dimanfaatkan oleh golongan belia luar bandar bagi mempertingkatkan kemahiran agar lebih berdaya saing dan mempunyai nilai tambah dalam pasaran tenaga kerja mahir. Justeru, satu acara “Drop Your Resume Day” iaitu penyerahan resume oleh belia-belia tempatan yang berminat untuk mengikuti latihan kemahiran di ABM telah dilancarkan Menteri Kerja Raya pada program tersebut.

Antara bidang kemahiran yang berimpak tinggi yang ditawarkan ABM bersempena Hari Kerjaya dan Libat Urus ini ialah Scaffolding Erection, Welding 3G dan 6G, Wireman PW1, PW2, PW3 dan PW4, Blasting & Painting dan lain-lain lagi. KKR percaya kejayaan sektor industri bukan sahaja bergantung kepada faktor kos tetapi juga kepada faktor tenaga kerja mahir negara. Dalam hal ini, tenaga kerja golongan belia yang mahir, berkeupayaan membantu merancakkan operasi industri pembinaan.

Masa hadapan para belia yang mengikuti latihan dalam bidang pembinaan ini juga dilihat cerah, lantaran terdapatnya usaha daripada Kerajaan yang akan meneruskan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sarawak yang merupakan agenda pembangunan mega Negeri Sarawak selain peluang kerjaya dengan kewujudan pusat-pusat perindustrian dan pusat-pusat komersial di sepanjang wilayah Sarawak Corridor of Renewable Energy (SCORE). Para belia berkemahiran yang bakal lahir menerusi latihan di ABM ini berupaya menyumbang tenaga dan buah fikiran kepada pembangunan sosio-ekonomi di Negeri Sarawak amnya dan Daerah Lawas khususnya.

Terdahulu, dalam satu program berasingan, YB Baru Bian turut berpeluang meninjau dan menyerahkan bantuan berupa peralatan sekolah kepada pelajar-pelajar di beberapa buah sekolah sekitar Daerah Lawas pada 13 dan 14 Disember 2018 di bawah program Tanggungjawab Korporat (CSR) anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) peringkat KKR. Program turun padang ini merupakan usaha murni PUSPANITA KKR mendekati golongan yang memerlukan disamping merapatkan hubungan antara rakyat dan pemimpin.

Tarikh Dan Waktu Acara