Langkau ke kandungan utama
1

Hari Integriti Kementerian Kerja Raya

KUALA LUMPUR, 25 November 2015 - Sejak tahun 2005, Hari Integriti Kebangsaan disambut pada 5 November setiap tahun bagi membudayakan integriti sebagai cara hidup dan amalan masyarakat Malaysia. Tarikh ini dipilih bersempena dengan penubuhan Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Penggubalan Pelan Integriti Nasional (PIN) yang diumumkan oleh mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai landasan ke arah pemantapan etika dan integriti masyarakat. Justeru itu, buat julung kalinya Unit Integriti Kementerian Kerja Raya telah menganjurkan Hari Integriti Kementerian Kerja Raya bertemakan “Amanah Tonggak Integriti” dan Wacana Ilmu berbentuk forum dengan tajuk yang sama.

Hari Integriti ini dianjurkan dengan tujuan memupuk kesedaran di kalangan anggota di Kementerian dan Agensi-agensi lain di bawahnya mengenai keperluan dan kepentingan membina nilai-nilai murni dan berintegriti. Sebagai usaha ke arah mewujudkan warga yang berintegriti, Kementerian turut mengambil inisiatif dengan melancarkan program Rakan Integriti yang dilancarkan oleh YB Dato’ Sri Fadillah Haji Yusof, Menteri Kerja Raya.

Program ini adalah untuk mewujudkan jaringan kerjasama di antara Unit Integriti dengan Rakan Integriti bagi membangunkan warga KKR yang berkualiti unggul. Turut diadakan pada majlis tersebut ialah pembacaan Ikrar Integriti Perkhidmatan Awam yang diketuai YBrs. Tuan Haji Sarani Dollah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kerja Raya.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita