Langkau ke kandungan utama
1

Dimensi Baharu Alam Bina di “MATRA” 28th Architectural Student Workshop

PULAU PINANG, 18 Ogos 2016 : Seramai lebih 600 peserta dari 21 institusi seni bina di seluruh Malaysia dan dua daripadanya adalah dari luar negara akan menyertai “MATRA” 28th Architectural Student Workshop 2016 yang berlangsung dari 17 hingga 21 Ogos 2016. Program ini adalah anjuran Universiti Sains Malaysia (USM), di rasmikan oleh YB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Menteri Kerja Raya Malaysia di Dewan Tuanku Syed Putra (DTSP), USM.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk membuka ruang kepada para pelajar dan ahli alam bina memperkukuh pengetahuan tentang dimensi yang berpotensi dalam menyumbang kepada penerapan elemen baru dalam seni bina seperti cahaya, bunyi, haba, aroma, kinetik, dan sebagainya. Ia juga bagi memahami hubung kait elemen-elemen ini dengan seni bina dan masyarakat sendiri.

Objektif utama bengkel ini adalah untuk mengemukakan isu-isu semasa dalam seni bina dan alam bina, memperbaiki kemahiran seperti pemikiran kritis, semangat berpasukan dan juga kemahiran seni bina dalam pelbagai senario. Memupuk esprit de corps dalam kalangan peserta dengan matlamat yang sama iaitu untuk memelihara persekitaran dan keperluan serta kemandirian manusia dan akhir sekali untuk mengukuhkan hubungan antara tokoh utama dalam bidang seni bina.

Tema kali ini pula dipilih ialah ‘matra’ yang berasal daripada perkataan sanskrit purba yang bermaksud ‘dimensi’. Ia bertujuan untuk menggambarkan usaha ahli-ahli industri alam bina dalam meneroka perspektif baharu dalam seni bina melalui penafsiran masing-masing. Logo “matra” pula diinspirasikan daripada simbol infiniti yang memberi maksud jutaan peluang untuk merungkai dimensi baru dalam segenap aspek seni bina. Bengkel seni bina ini merupakan pemangkin kepada pembangunan dan pakar alam bina di Malaysia. Manfaat paling ketara adalah bengkel ini akan meningkatkan taraf dan kualiti potensi graduan USM serta institusi lain yang terlibat. Bengkel ini telah berjaya merapatkan jurang antara pihak industri dan akademik setelah lebih 20 tahun.

Bengkel ini mewujudkan persekitaran dinamik yang menimbulkan cara komunikasi yang berkesan antara pihak industri dan ahli akademik serta merangsang kemahiran pemikiranyang kreatif dan inovatif.

12 pertandingan seni bina dipertandingkan dalam bengkel ini termasuklah pertunjukan fesyen, seni dinding, pentunjukan multimedia, persembahan, instagram, fotografi. Bengkel ini diharapkan dapat menjadi suatu platform bagi dimensi baru dan digunakan secara optimum agar membuahkan hasil yang memanfaatkan kepada alam bina negara.

Tarikh Dan Waktu Acara