Langkau ke kandungan utama
1

CIDB Raikan 427 Graduan ABM

JOHOR BAHRU, 28 Mei - Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia hari ini meraikan 427 pelatih-pelatih Akademi Binaan Malaysia (ABM) yang telah tamat menjalani pengajian di dalam pelbagai bidang dan akan menerima Sijil Kecekapan Kemahiran masing-masing.

Daripada jumlah tersebut, 100 pelatih telah ditaja oleh Yayasan FELDA di dalam bidang kimpalan di bawah The Welding Institute (TWI), manakala IRDA telah memilih 60 orang pelatih untuk menjadi perintis projek Pinewood Iskandar Malaysia Studio.   Selain daripada itu seramai 100 orang pelatih pula yang berpeluang menjalani latihan dalam industri bersama 20 syarikat kontraktor tempatan.

YB. Datuk Haji Fadillah Yusof, Menteri Kerja Raya dalam ucapan perasmiannya menggesa penggiat industri lain juga mengambil langkah yang sama untuk memberi pendedahan industri kepada para pelatih binaan tempatan dan seterusnya menyerap mereka sebagai pekerja mahir di dalam tred berkaitan. 

“Saya melihat kerjasama ini akan memberi impak positif ke arah pembangunan negara dengan cara yang lebih efektif dan dalam skala yang lebih besar dan untuk memastikan perkara ini Kementerian dan CIDB akan terus membangunkan kapasiti dan keupayaan para belia tempatan dalam bidang kemahiran pembinaan terkini berserta pengalaman industri yang menepati standard antarabangsa,” tambahnya lagi.

Sejak penubuhan ABM Wilayah Selatan pada 2001, ia telah berjaya mengeluarkan lebih daripada 12,844 orang pelatih berkemahiran dalam tred-tred pembinaan terpilih. Selain itu ABM Wilayah Selatan ini juga telah melatih seramai 18,737 personel binaan di dalam pelbagai bidang.  Jumlah belia dan personel binaan yang telah dilatih di seluruh Malaysia sejak 2001 adalah seramai 200,000 orang.

Tarikh Dan Waktu Acara
Gambar Berita