Langkau ke kandungan utama
1

CIDB Perkenal IMPACT : Program Penilaian Dan Persijilan Sistem IBS Di Malaysia

CIDB PERKENAL IMPACT:  PROGRAM PENILAIAN DAN PERSIJILAN SISTEM IBS DI MALAYSIA
    
KUALA LUMPUR, 17 Januari 2019 – Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)
hari ini melancarkan IMPACT, satu program penilaian dan pensijilan bagi Sistem Binaan Berindustri (IBS).  Program IMPACT ini akan dilaksanakan berdasarkan standard yang dikeluarkan CIDB iaitu Construction Industry Standard, CIS 24:2018, Penilaian dan Persijilan Pengeluar dan Produk IBS.  CIS 24:2018 merupakan titik rujukan bagi memastikan kualiti komponen IBS mengikut standard yang telah ditetapkan melalui kaedah penilaian yang sistematik. 

Program IMPACT adalah sistem bersifat holistik yang memberikan Verifikasi, Validasi, Pengujian dan Pensijilan produk dan komponen berkenaan dengan IBS mengikut standard yang ditetapkan oleh CIDB.  Dengan pelaksanaan sistem baharu ini, produk-produk IBS yang dikeluarkan dijamin berkualiti tinggi menerusi pelbagai peringkat penilaian dokumen dan pemeriksaan produk seterusnya berupaya membantu agensi pelaksana projek, pemaju, serta penggiat industri mengenalpasti produk IBS yang berkualiti dan terjamin.

Program IMPACT ini telah dilancarkan oleh Menteri Kerja Raya, YB Tuan Baru Bian.  Turut hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Setiausaha Kementerian Kerja Raya Dato’ Dr Syed Omar Sharifuddin bin Syed Ikhsan dan Ketua Eksekutif CIDB Dato’ Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid. 

Sejak tahun 2008, kerajaan telah mewajibkan penggunaan IBS untuk projek-projek kerajaan bernilai RM10 juta dan ke atas dengan 70 skor IBS.  Sementara itu, pada Januari 2018, kerajaan telah mengumumkan bahawa projek-projek swasta bernilai RM50 juta dan ke atas pula diwajibkan untuk menggunakan IBS dengan skor minima 50, menjelang 2020.

Tarikh Dan Waktu Acara